WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) merancang mengenakan sekatan baharu ke atas Iran yang bakal mengurangkan kapasiti negara itu untuk mengeksport minyak berikutan serangannya terhadap Israel minggu lalu.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berkata, jabatannya pernah mengambil tindakan sama sebelum ini untuk membendung tingkah laku tidak stabil Iran.
“Saya menjangkakan kami akan mengambil tindakan sekatan tambahan terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang.
“Kami belum memutuskan alat sekatan yang akan digunakan tetapi dalam perbincangan terbaharu, semua pilihan untuk mengganggu pembiayaan aktiviti Iran terus berada di atas meja.
“Jelas sekali, Iran terus mengeksport minyak. Mungkin ada lebih banyak lagi yang boleh kita lakukan. Saya tidak boleh mendedahkan lagi aktiviti sekatan sebenar kita, tetapi yang pastinya eksport minyak masih menjadi tumpuan utama yang mungkin boleh kita tangani,” katanya.
Menurut Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, sekatan baharu itu akan turut menyasarkan program peluru berpandu dan dron Iran.
“Kami akan mendapatkan bantuan semua pembekal utama dunia termasuk negara G7 dan China untuk memainkan peranan mengekang keupayaan Iran mendapatkan akses mikroelektronik bagi membina senjata selain merendahkan kapasiti dan keberkesanan ketenteraannya,” katanya.
Ketua Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell berkata, pihaknya akan menghantar permintaan kepada perkhidmatan diplomatik badan itu untuk memulakan usaha berkaitan sekatan tersebut.
Serangan langsung pertama Iran ke atas Israel Sabtu lalu menyaksikan lebih 300 peluru berpandu serta dron dilancarkan dari Iran, Iraq, Syria dan Yemen dengan kebanyakannya dikatakan berjaya ditembak jatuh.
Tehran berkata, serangan itu adalah tindakan balas terhadap pengeboman Israel ke atas konsulatnya di Syria pada 1 April lalu yang mengorbankan 13 orang termasuk dua jeneral tenteranya.
Pemimpin dunia menggesa kedua-dua pihak supaya mengelak daripada mencetus konflik lebih mendalam yang akan memburukkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Presiden AS, Joe Biden menegaskan pihaknya komited terhadap keselamatan Israel tetapi mahu menghalang konflik daripada merebak dan menjelaskan tidak akan menyertai Israel dalam sebarang serangan balas terhadap Iran.
Presiden Russia, Vladimir Putin dalam panggilan telefon dengan Presiden Iran, Ebrahim Raisi, turut menyeru kedua-dua pihak untuk mencegah pusingan baharu konfrontasi yang boleh mengakibatkan bencana di seluruh wilayah itu.
Perdana Menteri UK, Rishi Sunak turut memberi amaran kepada rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu bahawa ketegangan hanya akan meningkatkan rasa tidak selamat di Asia Barat, justeru keputusan lebih tenang harus diguna pakai.-REUTERS










