Aliran penduduk Gaza ke Mesir keruhkan konflik Israel-Palestin

Aliran penduduk Gaza ke Mesir keruhkan konflik Israel-Palestin

PEMANDANGAN udara khemah pelarian penduduk Palestin di Rafah di selatan Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Prospek penduduk Gaza menyeberang ke Mesir dari bandar sempadan Rafah demi melarikan diri daripada serangan tentera bukan sahaja menyukarkan penyelesaian konflik Israel-Palestin, malah dikhuatiri menambah ‘dilema mengerikan’ kepada mereka.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi berkata, dunia perlu berusaha keras melakukan segala-galanya untuk mengelakkan aliran keluar penduduk Gaza seperti itu.

“Satu lagi krisis pelarian dari Gaza ke Mesir. Saya boleh memberi jaminan kepada anda, ia akan menjadikan penyelesaian terhadap masalah pelarian Palestin akibat konflik peperangan dengan Israel semakin mustahil,” katanya di ibu pejabat UNHCR di Geneva.

Rancangan Israel untuk menyerang Rafah di mana lebih 1.4 juta penduduk Gaza berlindung mendapat kecaman yang meluas dari seluruh dunia.

Malah sekutu terdekat Israel, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa negara itu akan menghadapi pengasingan global jika rancangan itu diteruskan.

Grandi berkata, serangan ke atas Rafah mungkin menjadikan pergerakan penduduk Gaza ke Mesir satu-satunya pilihan yang ada untuk keselamatan mereka.

“Dilema ini tidak boleh diterima dan tanggungjawab untuk mengelakkan perpindahan ini berlaku terletak tepat di tangan Israel yang menyalahgunakan kuasa pendudukan di Gaza,” katanya.

Tentera Israel berkata, empat batalion Hamas kekal di bandar itu termasuk sebilangan komander kanan yang tidak diketahui jumlahnya.

Menurut Grandi, UNHCR sedang menyimpan stok khemah serta bekalan dan bekerjasama dengan negara-negara di rantau Asia Barat untuk melaksanakan rancangan kontingensi mereka sendiri mengenai kemungkinan ketibaan warga Gaza.

“Kami sedang melihat di rantau ini serta pelbagai kemungkinan bukan sahaja tentang aliran keluar, tetapi juga kebimbangan konflik boleh berkembang.

“Tetapi saya ulangi, kita tidak boleh sampai pada dilema yang mengerikan itu, yang akan menghampiri penghujung jalan untuk apa yang benar-benar penting di sini iaitu keamanan muktamad,” katanya.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN