PETALING JAYA: Selangor FC mengambil langkah drastik apabila membuat keputusan menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) , Jumaat ini.
Berdasarkan satu kenyataan media, Selangor FC berkata, keputusan itu diambil hasil perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak rentetan daripada insiden jenayah serta ancaman beberapa pemain dan pegawai pasukan tempoh tempoh 72 jam.
“Kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih yang telah lama kelab ini nantikan.
“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan ancaman serta tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan keselamatan pasukan,” katanya.

Ketika ini, isu keselamatan hangat diperkatakan apabila penyerang Selangor FC, Faisal Halim mengalami kelecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbahan asid, Ahad lalu.
Beliau kini dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan buat kali kedua dan bakal menjalani pembedahan dua lagi pembedahan.
Sebelum itu, Akhyar Rashid cedera selepas menjadi mangsa samun di Terengganu dan terbaharu semalam pemain tengah JDT, Safiq Rahim diserang oleh dua lelaki tidak dikenali yang mengakibatkan cermin belakang keretanya pecah.
Susulan penarikan diri Selangor FC itu, sidang akhbar media perlawanan yang sepatutnya berlangsung esok di SSI turut dibatalkan- UTUSAN ONLINE










