JAKARTA: Sekumpulan penduduk kampung terkejut selepas menemukan senaskah al-Quran yang masih elok di dalam sebuah rumah yang hangus terbakar di Sulawesi Tenggara, baru-baru ini .
Video kejadian itu tular dalam media sosial selepas dimuat naik pemilik akaun Instagram @koltimnews, Jumaat lalu.
Dalam video tersebut, kelihatan bahagian sisi al-Quran itu sudah kehitaman, namun penduduk tempatan berasa hairan apabila melihat baris ayat masih boleh dibaca di setiap muka surat.
“Kejadian berlaku di daerah Tirawuta di Kolaka Timur. Terdapat dua buah rumah di Desa Loka yang mengalami kebakaran pada Jumaat lalu sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan).
“Anehnya, dari sisa-sisa kebakaran itu, didapati sebuah kitab suci al-Quran masih utuh dan hampir tidak disentuh api walaupun dua rumah itu hangus terbakar.
“Malah, warna pada setiap muka surat juga tidak luntur dan masih boleh dibaca dengan jelas,” kata seorang saksi, Ichwanul dipetik Tribun News.
Pegawai Perhubungan Awam Polis Kolaka Timur, M. Rofii mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan tiada kematian dilaporkan, namun pihak berkuasa masih menyiasat punca kebakaran tersebut.










