MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dijangka kekal mentadbir buat penggal kelima di republik itu.
Malah, sekiranya menang, pemimpin disebalik tercetusnya peperangan di Ukraine, akan terus memperluaskan kuasanya pada bila-bila masa sejak 24 tahun yang lalu.
Lapor CNN, tinjauan pendapat terkini dari Pusat Levada di Moscow, mendapati kira-kira 86 peratus individu masih mempercayai kepimpinan Putin.
Seperti diketahui, di sesebuah negara yang mana pengkritik dikenakan tindakan tegas seperti dipenjarakan, dibuang negeri atau dibunuh, sudah tentu tinjauan demikian wujudnya kecacatan.
Ini berlaku ekoran propaganda pro-Kremlin yang berterusan disiarkan di media yang dikawal negara yang mana kebanyakan rakyat Russia mempunyai akses terhadap berita-berita tersebut.
Namun, ketika pilihan raya negara itu semakin menghampiri, ramai rakyat Russia didapati menyokong beliau.
Menurut seorang penduduk dari Republik Komi, Dmitry, dia pasti akan mengundi Putin kerana beliau menjadikan Russia negara yang lebih baik.
Malah, Dmitry menganggap Putin tidak bertanggungjawab ke atas penglibatan Russia dalam perang di Ukraine.
“Sudah tentu tidak, kami menyokong beliau dalam hal itu. Kemenangan akan menjadi milik kita dan jika diperlukan, saya akan berjuang juga,” katanya.
Seorang lagi penduduk tempatan bernama Sergey menyatakan pekerjaannya terjamin dan stabil, dengan faedah kesihatan yang baik di Russia.
Sergey menolak dakwaan bahawa sekatan antarabangsa ke atas Russia telah menjadikan negara itu lebih miskin.
“Sebagai rakyat Russia, saya tidak merasakan apa-apa kesan sekatan yang dikenakan ke atas republik ini,” katanya.
Dilaporkan, Pilihan Raya Presiden akan diadakan dari 15 hingga 17 Mac 2024.










