NEW YORK: Kajian baharu berjaya mengenal pasti varian gen yang melindungi lelaki daripada penyakit teruk dan kematian apabila mereka di masukkan ke hospital akibat Covid-19.
Penyelidik berkata, gen pelindung itu adalah varian antagonis reseptor interleukin-1 (1L1RN) dan kelihatan membantu mengurangkan keradangan menerusi kajian yang dilakukan ke atas 124 lelaki berumur 19 hingga 74 tahun.
“Hasil kajian kami menunjukkan dalam kalangan pesakit yang dimasukkan ke hospital, wanita secara keseluruhan masih kurang berkemungkinan daripada lelaki untuk mati akibat Covid-19.
“Tetapi lelaki berumur 74 tahun dan lebih muda yang memiliki gen IL1RN varian rs419598 adalah 80 peratus kurang berisiko mati atau mengalami keradangan teruk yang dikaitkan dengan jangkitan SARS-CoV-2,” kata Profesor Perubatan NYU Langone Health New York City dan pengarang bersama kajian, Mukundan Attur.
Namun penemuan yang diterbitkan dalam The Journal of Infectious Diseases itu menegaskan varian gen tersebut hanya melindungi kaum lelaki sehingga mereka yang berusia 74 tahun dan tidak melebihi had umur itu apabila penyakit kronik penuaan berlaku.
Penyelidik mendapati bahawa paras darah purata protein melawan keradangan yang dikodkan oleh 1L1RN adalah 14 kali lebih tinggi pada lelaki yang dimasukkan ke hospital berbanding dengan kawalan lelaki yang sihat.
Pengerusi Jabatan Perubatan NYU Langone yang juga pengarang kanan kajian, Dr. Steven Abrahamson berkata, penemuan itu menunjukkan laluan untuk mencegah keradangan teruk yang sering dilihat pada jangkitan Covid-19.
“Kajian baharu ini menambah bukti tentang biologi asas yang menyumbang kepada perbezaan jantina dalam kadar kematian akibat Covid-19.
“Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengetahui sama ada terapi perencatan IL-1 seperti anakinra, canakinumab dan rilonacept berkesan terhadap jangkitan virus tersebut,” katanya.-AGENSI










