LONDON: Sepucuk surat misteri yang ditujukan kepada James Bond dalam botol bertarikh 1966 ditemukan tertanam di dalam pendiang api di istana bersejarah di Jersey.
Jersey Heritage dalam catatan di media sosial berkata, kerja pemulihan dilakukan di tingkat satu kuarters pegawai di Istana Elizabeth dan petugas yang sedang membuka sekatan pada pendiang tersebut menemukan mesej itu terlekat pada botol kaca yang sudah pecah
Nota bertarikh 26 Februari 1966 itu tertulis mesej dalam bahasa Inggeris yang bermaksud ‘007 James Bond. 26hb Feb 1966. P.S. Ejen Rahsia. Jangan beritahu sesiapa’.
Bahagian belakang nota itu tertulis nama E. A. Blampied, berkemungkinan merujuk kepada artis Jersey Edmund Blampied yang meninggal dunia pada Ogos 1966.
Nota itu ditulis hampir tepat dua bulan selepas tayangan Thunderball, sebuah filem James Bond yang dibintangi oleh Sean Connery.
Botol itu juga turut mengandungi muka surat 15 hingga 18 daripada edisi akhbar mingguan Reveille bertarikh 23 Februari 1966.
“Kami memerlukan bantuan anda untuk menjelaskan nota misteri ini,” tulis Jersey Heritage dalam siaran media sosialnya.
Kumpulan itu juga turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang mesej dalam botol tersebut untuk berhubung dengan mereka melalui emel.-AGENSI










