MOSCOW: Terdapat lonjakan pekerja asing meninggalkan Russia menuju ke Tajikistan selepas serangan dewan konsert di Moscow minggu lalu yang menyebabkan ratusan orang maut.
Perkara itu dilaporkan Kementerian Buruh Migrasi dan Pekerjaan Tajikistan namun menjangkakan peningkatan pengaliran keluar pendatang dari Russia hanya sementara.
“Kami menerima banyak panggilan. Ini kemungkinan besar bukan aduan tentang gangguan, tetapi lebih kepada rasa takut dan panik rakyat kami menyebabkan ramai yang mahu keluar.
“Kami kini sedang memantau situasi terkini apabila kami mempunyai lebih ramai orang datang ke Tajikistan daripada keluar,” kata Timbalan Ketua Kementerian tersebut, Shakhnoza Nodiri dipetik agensi berita Russia TASS.
Pada 22 Mac lalu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah penonton konsert dalam insiden serangan terburuk di Russia sejak lebih dua dekad yang mengorbankan sekurang-kurangnya 144 orang.
Empat daripada suspek lelaki bersenjata warga Tajikistan ditangkap bersama tujuh suspek lain, beberapa daripadanya berasal dari negara Asia Tengah bekas Soviet.
Tajikistan menahan sembilan orang minggu ini yang disyaki mempunyai kaitan dengan tembakan besar-besaran itu dan kumpulan militan ISIS-K yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.
Menurut Presiden Persatuan Pembina Kebangsaan (NOSTROY), Anton Glushkov, kekurangan buruh dalam ekonomi Russia dijangka bertambah buruk akibat pengaliran keluar pekerja asing, dengan defisit dalam industri pembinaan meningkat sebanyak 36 peratus tahun ini berbanding pada 2022.
Bank Pusat Russia berkata, kekurangan kakitangan dan kenaikan gaji adalah antara risiko kepada inflasi yang memaksanya untuk menaikkan kadar faedah utama.
Menurut laman web kementerian, 652,014 buruh migran meninggalkan negara itu pada 2023 berbanding 775,578 pada 2022.-REUTERS










