NEW YORK: Rangkaian makanan segera McDonald’s memohon maaf selepas pelanggan di beberapa negara Asia dan Eropah mengalami gangguan pada sistem pesanannya sejak semalam.
Gangguan itu dilaporkan menjejaskan pasaran di Singapura, Australia, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Jerman, Britain dan beberapa negara lain hingga menyebabkan beberapa restoran menggantung pesanan dalam talian termasuk menutup operasi di beberapa cawangan.
McDonald’s dalam satu kenyataan berkata, punca masalah tersebut adalah kerana kegagalan teknologi global namun tidak menyatakan seberapa meluas isu itu.
“Gangguan itu sudah dikenal pasti dan diperbetulkan dengan cepat.
“Ia bukan disebabkan oleh peristiwa keselamatan siber, tetapi oleh penyedia pihak ketiga semasa perubahan konfigurasi,” kata Ketua Pegawai Maklumat Syarikat, Brian Rice.
Taiwan menghentikan pesanan telefon dan dalam talian manakala McDonald’s Jepun berkata, banyak kedai terpaksa menangguhkan operasi mereka kerana gangguan itu semakin teruk.
Masalah juga berlaku di Jerman dan Britain serta pasaran lain pada waktu pagi di Eropah.
Perkhidmatan pesanan di China juga terjejas selama beberapa jam, dengan gangguan sistem itu menjadi topik hangat di platform media sosial Weibo.
Rice berkata, walaupun banyak pasaran sudah kembali dalam talian, masih ada beberapa premis yang mengalami gangguan sehingga kini.
“Apa yang berlaku hari ini menjadi pengecualian kepada norma, dan kami sedang berusaha dengan segera untuk menyelesaikannya,” katanya sambil memohon maaf kepada pelanggan dan pemilik restoran.-AGENSI










