Lanjut pengajian tinggi boleh panjangkan hayat

Lanjut pengajian tinggi boleh panjangkan hayat

hayat
PINJAMAN antara sumber kewangan utama rakyat Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK:  Kajian terbaharu pakar kesihatan Amerika Syarikat (AS) mendapati usaha menuntut ilmu dan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi mempunyai kaitan rapat dengan umur yang panjang.

Menurut kajian Sekolah Kesihatan Awam Mailman Universiti Columbia yang diterbitkan dalam jurnal JAMA Network Open, mobiliti peningkatan tahap pendidikan dikaitkan dengan kadar penuaan yang perlahan dan risiko kematian lebih rendah.

Bagi mencapai kesimpulan tersebut, penyelidik menganalisis sampel data beribu-ribu peserta selama tiga generasi, bermula pada tahun 1948 yang dikumpul semasa Kajian Jantung Framingham.

Semasa kajian itu, beberapa peserta menyediakan sampel darah yang membantu pasukan pakar menganalisis data genomik.

Data tersebut dianalisis menggunakan alat algoritma DunedinPACE yang dibangunkan oleh penyelidik di Columbia untuk mengukur kelajuan penuaan melalui tag kimia pada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sel darah putih.

“Kami sudah lama mengetahui bahawa orang yang mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi cenderung untuk hidup lebih lama.

“Tetapi terdapat banyak cabaran dalam memikirkan bagaimana ia berlaku dan secara kritikal, sama ada campur tangan untuk menggalakkan pencapaian pendidikan akan menyumbang kepada umur panjang yang sihat,”  kata Profesor Epidemiologi Sekolah Mailman, Daniel Belsky.

Jelas calon program Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Gloria Graf yang terlibat dalam kajian itu, pasukannya turut mengambil kira potensi faktor sosial yang mempengaruhi kesimpulan tersebut.

“Kami memberi tumpuan kepada mobiliti pendidikan, berapa banyak lagi atau kurang pendidikan yang diselesaikan seseorang berbanding ibu bapa mereka.

“Penemuan kami menyokong hipotesis bahawa campur tangan untuk menggalakkan pencapaian pendidikan akan memperlahankan kadar penuaan biologi,” kata Graf.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN