SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyelia latihan tembakan membabitkan pelbagai pelancar roket ‘super besar’ baharu, sehari selepas Pyongyang melepaskan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat ke arah Seoul.
Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menamatkan salah satu latihan ketenteraan bersama tahunan utama mereka minggu lalu.
Tindakan itu mencetus tindak balas daripada Pyongyang yang menyifatkan latihan sedemikian sebagai usaha pencerobohan.
Tentera Seoul berkata, pihaknya mengesan pelancaran pelbagai peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Korea Utara, ketika Setiausaha Negara AS, Antony Blinken melawat ibu negara Korea Selatan untuk menghadiri rundingan.
Menurut agensi berita Korea Selatan Yonhap, pelancar roket berbilang terbesar yang dinamakan sebagai KN-25 oleh tentera Seoul dan Washington itu merupakan jenis peluru berpandu balistik jarak dekat.
Pyongyang mendakwa senjata itu mempunyai keupayaan untuk dilengkapi dengan kepala peledak nuklear taktikal.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) berkata, Jong Un membimbing latihan tersebut kelmarin yang menguji keupayaan perang sebenar pelancar roket berbilang 600 milimeter sambil menekankan kepentingan persediaan perang.
Jong Un berkata, pelancar roket berganda itu akan membantu Pyongyang menyekat kemungkinan perang dengan persediaan sempurna yang berterusan untuk meruntuhkan ibu kota musuh.
“Latihan itu juga melibatkan simulasi letupan udara peluru daripada pelancar roket berbilang yang besar pada ketinggian yang ditetapkan di atas sasaran.
“Semasa latihan, anggota artileri Korea Utara menunjukkan kemahiran menembak artileri tembakan yang sangat baik dan kesediaan tempur yang cepat dan menyeluruh.
“Selongsong besar pelancar roket berbilang yang dilepaskan dari laras senjata tajam seperti lava, terbang ke sasaran dengan nyalaan memusnahkan musuh,” jelas laporan itu.
Imej media kerajaan menunjukkan Jong Un yang memakai jaket kulit hitam menonton latihan bersama jeneralnya dan meraikan kejayaan mereka.
Pyongyang bulan ini memberi amaran bahawa Seoul dan Washington akan membayar ‘harga yang mahal’ atas latihan ketenteraan mereka.
“Kim minggu lalu juga menyelia latihan payung terjun yang bertujuan untuk menunjukkan keupayaan askarnya untuk menduduki kawasan musuh dengan sekelip mata,” lapor media kerajaan.-AFP










