Kes pelancong Sepanyol dirogol: Lima lagi suspek ditahan

Kes pelancong Sepanyol dirogol: Lima lagi suspek ditahan

SUSPEK ditahan berhubung kes rogol seorang pelancong warga Sepanyol di daerah Dumka, Jharkhand. - AGENSI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Polis India menahan lima lagi lelaki berhubung kes rogol berkumpulan membabitkan seorang pelancong warga Sepanyol di negara itu. 

Berdasarkan laporan media tempatan, penahanan lima individu itu, menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan kepada lapan orang.

Serangan ke atas vlogger pengembaraan yang dalam jelajah motosikal bersama suaminya, berlaku di daerah Dumka, negeri Jharkhand, timur India pada minggu lalu.   

Ketika kejadian, lelaki itu mengikat si suami dan bergilir-gilir merogol wanita terbabit selama kira-kira dua jam selepas pasangan itu memasang khemah untuk bermalam di kawasan Hansdiha, kira-kira 300 kilometer dari ibu negeri Ranchi.

Agensi berita Press Trust of India (PTI) menyiarkan rakaman menunjukkan lima suspek yang digari dan diikat dengan tali antara satu sama lain, berdiri dalam satu barisan di belakang anggota polis.

Isnin lalu, tiga suspek lain hadir di mahkamah dan kemudian ditahan reman.

“Ketiga-tiga yang ditahan sebelum ini memberi kenyataan baharu yang mana mereka menyebut lima lagi nama. Jadi sehingga kini kami sudah menahan lapan suspek,” kata pegawai kanan polis, Pitamber Singh Kherwar.

Jelas Kherwar, sekiranya mana-mana lelaki itu didapati bersalah, maka mereka akan berdepan `hukuman berat’.

“Kami sedang membentuk kes yang kukuh terhadap mereka,” katanya.

Lapor penyiar NDTV, pihak berkuasa menyerahkan cek berjumlah AS$12,000 (RM56,754) kepada pasangan berkenaan sebagai pampasan di bawah `skim pampasan mangsa’  

Sementara itu, mangsa wanita berkenaan menyiarkan kenyataannya di media sosial selepas penahanan semua suspek itu.

“Mereka berjaya menahan semua penjenayah, secara keseluruhannya lapan orang yang terlibat.

“Saya mohon keadilan bagi semua wanita yang juga terpaksa melalui situasi demikian,” jelas kenyataan mangsa itu yang turut mengucapkan terima kasih kepada polis India. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN