Friends of BHESS diperkenal bagi perkukuh MA63 sebagai naratif nasional - Mustapha

Friends of BHESS diperkenal bagi perkukuh MA63 sebagai naratif nasional – Mustapha

MUSTAPHA SAKMUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Inisiatif Friends of BHESS bakal diperkenalkan bagi memperluas kefahaman dan sokongan Ahli Parlimen serta Senator terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sekali gus memperkukuh perjanjian itu sebagai naratif nasional.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, inisiatif itu akan diusahakan bersama Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia susulan persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengangkat MA63 sebagai naratif nasional.

Katanya, MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, sebaliknya merupakan sebahagian daripada asas pembentukan serta pengukuhan Persekutuan Malaysia.

“Pendekatan ini penting kerana perkara berkaitan MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada asas pembentukan dan pengukuhan Persekutuan Malaysia.

“Pelaksanaannya memerlukan kefahaman dan dukungan bersama dari seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustapha berkata, Friends of BHESS akan menjadi wadah untuk memperluas perbincangan dan perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator, khususnya mengenai perkara yang memerlukan kefahaman serta sokongan di peringkat Parlimen.

Katanya, langkah itu selari dengan hasrat Perdana Menteri susulan pengumuman bahawa Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.

“Usaha untuk merealisasikan perkara ini memerlukan proses perundangan dan sokongan yang mencukupi di Parlimen.

“Justeru, ia tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Mustapha menjelaskan, Friends of BHESS diharapkan dapat membantu membina kefahaman mengenai MA63 dengan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif, merentasi wilayah serta politik kepartian.

“Pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya.

“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×