Jokowi mungkin sertai Golkar?

Jokowi mungkin sertai Golkar?

PRESIDEN Indonesia, Jokowi (tengah) hadir pada pertemuan dengan pegawai tentera dan polis berpangkat tinggi di markas tentera di Jakarta. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Para pakar berpandangan Joko Widodo (Jokowi) mungkin akan beralih arah kepada parti tertua Indonesia, Golkar dalam usaha untuk mengekalkan pengaruh politiknya selepas berundur daripada jawatan presiden.  

Kemungkinan untuk Presiden Indonesia itu menyertai Golkar sebahagian besar bergantung kepada kongres kebangsaan yang bakal berlangsung nanti.

Perkara itu dimaklumkan oleh penganalisis politik dari Universiti Al Azhar Indonesia, Dr. Ujang Komarudin.

“Jika pemilihan berlaku pada Disember ini sepertimana dijadualkan setiap lima tahun, maka pengaruh Jokowi mungkin berkurangan kerana beliau tidak akan lagi memegang jawatan presiden.

“Bagaimanapun, jika pemilihan awal berlaku semasa Jokowi masih memegang jawatan mungkin pada bulan September maka beliau masih lagi boleh memegang kuasa besar.

“Senario ini akan menunjukkan pergerakan strategik Jokowi untuk menguasai Golkar dan berpotensi menjejaskan proses demokrasi,” katanya.

Jokowi dijangka berundur sebagai Presiden pada 20 Oktober selepas berkhidmat maksimum dua penggal. 

Dalam pada itu, pakar memberi amaran Jokowi mungkin menghadapi tentangan dalaman sekiranya beliau masih memegang jawatan kepimpinan dalam Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) berdasarkan Perlembagaan parti.

Jokowi ketika ini merupakan ahli PDI-P namun hubungannya dengan Ketua Umum PDI-P, Megawati Soekarnoputri semakin renggang selepas anak sulungnya, Gibran Rakabuming Raka memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden bersama calon Presiden dari Gerinda, Prabowo Subianto yang tidak disokong oleh PDI-P.

Golkar dijangka mengadakan kongres kebangsaan pada Disember akan datang yang mana parti itu antara lain akan memilih pengerusinya.   

Dilaporkan, tiga pemimpin daripada Kabinet Jokowi iaitu Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto, Menteri Pelaburan Bahlil Lahadalia dan Menteri Industri, Agus Gumiwang Kartasasmita, serta Speaker Dewan Permusyawaratan Rakyat, Bambang Saoesatyo berebut jawatan pengerusi parti.

Khabar angin kononnya Presiden Indonesia itu berpotensi menyertai Golkar mendapat perhatian umum selepas pengerusi parti itu, Airlangga mengakui bahawa parti itu mempunyai hubungan istimewa dengan Jokowi.   

Pakar politik percaya hubungan Jokowi yang semakin renggang dengan PDI-P, serta keperluan untuk `pengaruh politik’ baharu selepas berundur dari jawatan presiden, antara faktor yang mungkin mendorong beliau menyertai Golkar. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×