Israel langgar 3 akta Konvensyen Genosid PBB- Pakar 

Israel langgar 3 akta Konvensyen Genosid PBB- Pakar 

RAKYAT Palestin melaksanakan solat jenazah mangsa yang terbunuh dalam pengeboman di Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) memaklumkan terdapat bukti kukuh  Israel melakukan tindakan pembunuhan beramai-ramai yang secara jelas melanggar tiga akta di bawah Konvensyen Genosid PBB dalam perangnya di Gaza dan harus diletakkan di bawah embargo senjata.

Pelapor khas PBB, Francesca Albanese berkata, terdapat alasan munasabah untuk mengheret rejim Zionis ke muka pengadilan dan memberi amaran mengenai berlakunya penghapusan etnik terhadap penduduk Palestin di Gaza oleh Israel.

“Sifat dan skala serangan Israel yang luar biasa di Gaza serta kemusnahan terhadap kehidupan penduduk wilayah Palestin itu, mendedahkan niat untuk memusnahkan orang-orang Palestin sebagai sebuah kumpulan,” tegasnya.

Tambahnya, Israel secara terang-terangan melanggar tiga daripada lima akta yang disenaraikan di bawah Konvensyen Genosid PBB dalam laporannya bertajuk ‘Anatomi Genosid’.

Laporan itu menyenaraikan tindakan kekejaman Israel termasuk membunuh ahli sesuatu kumpulan, menyebabkan kecederaan fizikal atau mental yang serius kepada ahli kumpulan dan dengan sengaja menyebabkan kemusnahan fizikal secara keseluruhan atau separa terhadap sesuatu masyarakat.

Albanese, seorang pakar bebas dilantik Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) tetapi tidak bercakap bagi pihak PBB berkata, beliau menemui asas munasabah bahawa tahap untuk menakrifkan berlakunya genosid sudah dicapai dalam isu membabitkan penduduk Palestin di Gaza.

Dalam perkembangan sama, Washington memaklumkan pihaknya sedar tentang laporan itu tetapi memaklumkan tidak ada sebab untuk mempercayai Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Albanese turut menyatakan dalam laporannya bahawa tindakan pembunuhan beramai-ramai Israel sejajar dengan pernyataan niat genosid.

Jelasnya, kenyataan pegawai kanan Israel yang berhasrat memindahkan penduduk Palestin secara paksa dan menggantikan mereka dengan peneroka Israel, menunjukkan bahawa perintah pemindahan dan zon selamat digunakan sebagai alat genosid untuk mencapai pembersihan etnik.

“Kami mendapati bahawa Israel menganggap semua rakyat Palestin dan infrastruktur mereka sebagai pengganas atau penyokong pengganas, sekali gus mengubah segala-galanya dan semua orang menjadi sama ada sasaran atau kerosakan cagaran.

“Dengan cara ini, tiada rakyat Palestin di Gaza yang selamat mengikut definisi rejim Zionis.

“Ini membawa kesan buruk yang disengajakan, meragut nyawa berpuluh ribu rakyat Palestin,” katanya.

Laporan itu juga menegaskan penganiayaan Israel terhadap rakyat Palestin tidak bermula pada 7 Oktober tahun lalu.

“Pembunuhan beramai-ramai Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza adalah tahap peningkatan proses penghapusan penjajah yang sudah lama berlaku,” katanya.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN