MEULABOH: Pihak berkuasa Indonesia menyelamatkan sekurang-kurangnya 69 pelarian Rohingya yang berada di laut selama berminggu-minggu selepas bot mereka karam.
Bot kayu kumpulan pelarian itu dan sebuah lagi kapal yang cuba membantu mereka terbalik semalam, dengan mangsa yang terselamat menganggarkan puluhan lagi daripada lebih 150 etnik Rohingya yang berada di dalamnya hanyut.
Pasukan penyelamat bergegas menyelamatkan kumpulan Rohingya tersebut selepas ternampak mereka terkandas dan hanya berpaut pada sebuah bot yang terbalik di luar pantai wilayah barat Aceh.
Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya di Myanmar, dengan beribu-ribu orang mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun dalam perjalanan laut yang panjang dan mahal menaiki bot tipis untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.
“Jumlah mangsa yang diselamatkan ialah 69 orang, 42 daripadanya lelaki, 18 wanita dan sembilan lagi adalah kanak-kanak,” kata agensi mencari dan menyelamat Banda Aceh dalam satu kenyataan.
Rakaman dari bot tersebut menunjukkan lelaki, wanita dan kanak-kanak dibawa ke tempat selamat oleh agensi mencari dan menyelamat tempatan.
“Saya berada di laut selama 15 hari, tetapi ada yang lain di sini berada di laut selama sebulan. Bot kami terbalik kerana hujan lebat,” kata seorang mangsa yang terselamat berusia 27 tahun dikenali sebagai Dostgior.
Menurut lelaki itu, dia mengembara dari Cox’s Bazar di Bangladesh di mana ramai Rohingya melarikan diri daripada penganiayaan di Rakhine.
“Di Bangladesh, saya bertemu seseorang yang boleh membawa saya ke Indonesia. Matlamat saya pergi ke Indonesia adalah untuk membayar seseorang untuk membawa saya ke Malaysia.
“Apabila di Malaysia, saya akan membayar orang lain untuk masuk ke sana,” katanya kepada wartawan.
Setiausaha Agung Komuniti Nelayan Aceh Barat, Pawang Amiruddin berkata, beberapa lagi pelarian lain mengakui mereka berasal dari Myanmar dan cuba sampai ke Thailand tetapi diusir.
Rakan sekutu perlindungan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Faisal Rahman berkata, pihaknya sedang menunggu pasukan pemindahan tiba semula ke darat untuk mendapatkan data yang jelas dan kukuh mengenai mereka yang diselamatkan.-AFP











