NEW DELHI: Suruhanjaya Pilihan Raya India menerbitkan butiran derma politik bernilai jutaan dolar, sekali gus mengesahkan kelebihan kewangan besar yang dimiliki parti Perdana Menteri, Narendra Modi beberapa minggu menjelang proses pengundian di negara itu.
Bon pilihan raya menjadi kaedah utama pembiayaan politik, membenarkan penderma memberi tanpa nama melalui sijil yang dibeli daripada State Bank of India (SBI).
Tetapi bulan lalu mahkamah tertinggi India menolak skim itu sebagai tidak berperlembagaan, mengatakan ia melanggar hak pengundi untuk mengetahui siapa yang membiayai setiap parti.
Data yang dikeluarkan kelmarin menunjukkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi adalah penerima terbesar tunggal dari April 2019 hingga Januari tahun ini.
BJP menerima sekitar 48 peratus daripada semua bon pilihan raya yang ditunaikan oleh parti sehingga Mac 2023, berjumlah sekitar AS$730 juta (RM3.4 bilion).
Kongres, parti pembangkang utama India sebaliknya menerima sekitar AS$171 juta (804 juta) dalam jangka masa yang sama atau 11 peratus daripada jumlah keseluruhan dana politik tersebut.
Beberapa syarikat mewah terkemuka India antara yang membeli bon pilihan raya termasuk bon dalam jumlah besar yang dibeli atas nama Pengerusi Eksekutif ArcelorMittal, Lakshmi Niwas Mittal yang merupakan pengeluar keluli multinasional berpangkalan di United Kingdom (UK).
Penderma lain termasuk gergasi perlombongan India, Vedanta dan Bharti Airtel, syarikat telekomunikasi kedua terbesar di negara itu.
Menurut kumpulan penyokong Persatuan Pembaharuan Demokratik (ADR), lebih separuh daripada semua derma yang diterima parti politik sejak 2018 datang dalam bentuk bon pilihan raya.
Pengkritik berkata, skim itu mengurangkan ketelusan dengan menyebabkan orang ramai tidak dapat meneliti sama ada penderma sudah menerima bantuan politik.
Mereka juga bimbang ia memberi kuasa kepada kerajaan untuk melihat siapa yang membiayai parti pembangkang dengan mengakses butiran penderma melalui SBI milik kerajaan.
Keluaran data itu bagaimanapun tidak memetakan pembeli bon pilihan raya kepada penerima, menjadikannya tidak jelas tentang penderma individu dan korporat yang membiayai pihak mana.
Pihak berkuasa pilihan raya dijangka mengadakan tinjauan nasional dalam beberapa hari akan datang, dengan Modi dan BJP dijangka memenangi penggal ketiga.-AFP










