NEW DELHI: Biro Siasatan Pusat (CBI) berjaya menumpaskan rangkaian ejen pemerdagangan manusia yang menghantar warga India ke Russia untuk dijadikan tentera upahan menerusi penipuan tawaran kerja palsu.
Risikan dilakukan di tujuh bandar termasuk New Delhi, Mumbai, Ambala, Chandigarh, Madurai, dan Chennai berhubung penipuan pekerjaan yang menghantar beberapa orang India ke medan pertempuran Russia menentang Ukraine.
Jelas agensi itu, ejen sindiket tersebut memikat orang ramai menggunakan saluran media sosial dan penyeludupan beroperasi di bawah rangkaian yang tersusun.
CBI dalam satu kenyataan berkata, siasatan menyeluruh dijalankan selepas dua warga India yang ditipu untuk melancong ke Russia terbunuh dalam peperangan di negara itu.
“Ejen menggunakan saluran media sosial seperti YouTube dan kenalan tempatan mereka untuk memancing golongan belia pergi ke Russia dengan menjanjikan mereka pekerjaan yang menguntungkan.
“Kami mendapati warga India yang diperdagangkan sedang dilatih dalam peranan tempur dan ditempatkan di pangkalan hadapan di zon perang Russia-Ukraine.
“Tindakan itu jelas berlawanan dengan kehendak mereka, sekali gus meletakkan nyawa rakyat India dalam bahaya besar,” katanya.
Agensi itu sudah menahan beberapa individu dan memfailkan kes terhadap beberapa firma serta ejen perunding visa swasta termasuk merampas wang tunai bernilai 5 juta rupee (RM283,285), dokumen dan peranti elektronik di beberapa lokasi siasatan.
Kementerian luar India sebelum ini mengakui beberapa warga India mendaftar untuk peranan sokongan dengan tentera Russia.
Kementerian itu juga memaklumkan bekerjasama dengan pihak berkuasa Russia untuk membawa pulang warga India yang dipaksa berkhidmat dengan badan ketenteraan negara itu dan menggesa semua warganya untuk tidak terlibat dengan konflik tersebut.
Kelmarin, Kedutaan India di Moscow mengesahkan, warganya, Mohammed Asfan yang direkrut oleh tentera Russia terbunuh dalam konflik di Ukraine-AGENSI










