Houthi lancar peluru berpandu sasar kapal di Laut Merah

Houthi lancar peluru berpandu sasar kapal di Laut Merah

TENTERA AS mengesahkan Houthi lancar peluru berpandu dari Yaman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Kumpulan Houthi Yaman disokong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah kapal kontena mengibarkan bendera Liberia di Laut Merah.

Bagaimanapun, Komando Pusat tentera Amerika Syarikat (Centcom) memaklumkan peluru berpandu itu tidak terkena pada kapal tersebut.

Menurut Centcom, dua peluru berpandu balistik anti-kapal dilancarkan dari wilayah Yaman ke arah Pinocchio namun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.

Terdahulu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata, kumpulan pejuang itu menyasarkan dan menembak kapal itu yang didakwa milik Amerika Syarikat (AS).

Berdasarkan Pangkalan Data Awam yang dikendalikan oleh Equasis dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pinocchio merupakan kapal kontena mengibar Liberia yang dimiliki oleh syarikat berdaftar di Singapura, OM-MAR 5 INC.   

Menurut Yahya, kumpulan Houthi akan meningkatkan operasi ketenteraan semasa bulan Ramadan sebagai mempamerkan solidariti mereka kepada penduduk Palestin yang terjejas akibat pengeboman berterusan rejim Zionis di Gaza.

Serangan Houthi ke atas kapal di Laut Merah menyebabkan banyak syarikat perkapalan terbesar dunia mengubah laluan perjalanan sekaligus mengakibatkan gangguan kepada perdagangan global.

Tindakan Houthi mencetuskan kebimbangan perang Israel-Hamas boleh merebak lebih meluas dan menjejaskan kestabilan Asia Barat.

AS dan Britain melancarkan serangan ke atas sasaran Houthi di Yaman dan menyenaraikan semula kumpulan itu dalam senarai kumpulan pengganas. 

Isnin lalu, serangan udara gabungan AS-Britain mengenai bandar pelabuhan dan bandar kecil di barat Yaman sehingga sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan mencederakan 14 yang lain.

Centcom memaklumkan pasukannya melancarkan enam serangan pertahanan diri di kawasan dikawal Houthi di Yaman.

Serangan itu memusnahkan sebuah kapal selam tanpa pemandu dan 18 peluru berpandu anti-kapal yang disifatkan berpotensi memberi ancaman kepada kapal dagang dan kapal tentera laut AS di rantau itu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×