SEOUL: Sekumpulan doktor kanan Korea Selatan mengumumkan akan meletak jawatan mulai 25 Mac ini sebagai tanda sokongan kepada mogok doktor pelatih sejak bulan lalu, sekali gus bakal mencetus masalah besar di banyak hospital di negara itu.
Beribu-ribu doktor pelatih berhenti kerja pada 20 Februari lalu bagi membantah reformasi kerajaan menambah bilangan pelajar perubatan untuk mengatasi kekurangan pegawai sektor itu.
Wakil profesor perubatan di 20 universiti yang memegang jawatan doktor kanan di hospital umum mengadakan mesyuarat kelmarin untuk membincangkan isu tersebut.
Jurucakapnya, Bang Jae Seung berkata, sekurang-kurangnya doktor di 16 institusi memilih untuk menyokong rakan sekerja muda mereka.
“Profesor di setiap universiti memutuskan untuk menyerahkan surat peletakan jawatan secara sukarela bermula 25 Mac ini.
“Bagaimanapun, kami sudah mencapai kata sepakat bahawa sehingga peletakan itu dimuktamadkan, setiap individu harus melakukan yang terbaik dalam rawatan pesakit di jawatan masing-masing seperti yang mereka lakukan setakat ini,” katanya.
Jae Seung bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan sebenar profesor yang dijangka memilih untuk berhenti kerja pada tarikh tersebut.
Kementerian kesihatan minggu ini mengulangi bahawa rundingan mengenai rancangan reformasi tidak boleh dipersoalkan lagi dan akan dilaksanakan segera.
Kerajaan turut mengarahkan doktor pelatih untuk kembali bekerja atau berdepan tindakan undang-undang dan menggantung lesen perubatan mereka yang enggan mematuhinya sambil menawarkan insentif dan menyediakan talian hotline untuk menyokong petugas yang menentang mogok itu.
Seoul mendesak untuk memasukkan lebih 2,000 pelajar ke sekolah perubatan setiap tahun mulai 2025 bagi menangani masalah nisbah doktor kepada penduduk terendah dalam kalangan negara maju.
Ramai doktor bimbang pembaharuan itu akan menghakis kualiti perkhidmatan dan pendidikan perubatan, tetapi penyokong rancangan tersebut menuduh mereka hanya cuba untuk melindungi gaji dan status sosial.-AFP










