KYIV: Berjuta-juta orang dijangka terbunuh dalam perang Ukraine dengan Russia sekiranya penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) tidak meluluskan permohonan bantuan bernilai AS$60 bilion (RM286.61 bilion) untuk Kyiv.
Demikian amaran dibuat oleh Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam satu temubual bersama CNN.
Pemimpin itu diminta mengulas mengenai kenyataan dibuat oleh Senator AS, J.D Vance bahawa implikasi perang tidak akan berubah walaupun Ukraine menerima bantuan berkenaan.
Zelensky secara sinis memaklumkan beliau tidak pasti sama ada Vance memahami situasi yang sedang berlaku di Ukraine.
“Bagi mengetahui situasi di sana, dia perlu ke barisan hadapan untuk melihat sendiri apa yang sedang berlaku, bercakap dengan penduduk tempatan untuk memahami apa bakal terjadi kepada mereka tanpa sokongan itu.
“Baru, dia akan faham berjuta-juta orang akan terbunuh. Inilah hakikatnya.
“Sudah tentu, dia tidak memahaminya kerana negaranya tidak dilanda perang,” katanya.
Zelensky membuat amaran berkenaan beberapa jam selepas pemimpin Ukraine itu mengakui pihaknya kehilangan pasukan tentera.
Terdahulu, Zelensky dalam satu persidangan di Kyiv mengesahkan setakat ini, kira-kira 31,000 askar Ukraine terbunuh dalam konflik itu.
Ketika berucap pada persidangan itu, Zelensky menolak dakwaan Russia berkaitan bilangan tentera Ukraine terkorban jauh lebih tinggi.
Tambahnya, puluhan ribu orang awam terbunuh di wilayah Ukraine yang diduduki tentera Russia.
Zelensky mengeluarkan komen demikian ketika negaranya sedang bergelut untuk mendapatkan lebih banyak bantuan daripada rakan kongsi Barat.
Dilaporkan, rang undang-undang berkaitan bantuan luar negara masih terhenti di Dewan Perwakilan AS.










