KYIV: Perisikan Ukraine mendakwa tentera Russia menggunakan perkhidmatan internet peranti satelit Starlink di kawasan yang diduduki di timur negara itu.
Sambil mendedahkan bukti, perisikan tentera Ukraine mengesahkan laporan sebelum ini bahawa wujudnya penggunaan `sistematik’ terminal sistem komunikasi satelit milik hartawan Elon Musk oleh pasukan tentera Russia.
Lapor Al Jazeera, sistem Starlink dianggap amat penting bagi komunikasi medan perang Ukraine dalam pencerobohan Russia hampir dua tahun ketika Kyiv berdepan pasukan tentera yang besar dan lengkap.
Namun, kawalan peranti satelit Starlink kekal menjadi kebimbangan untuk Kyiv dan sekutunya.
Terminal satelit itu dibawa masuk untuk membantu Ukraine selepas pencerobohan Russia pada Februari 2022.
Malah, ia dianggap sangat penting untuk komunikasi medan perang Kyiv.
Susulan laporan berkenaan, SpaceX menegaskan bahawa syarikatnya tidak menjalankan sebarang bentuk perniagaan dengan kerajaan Russia mahupun tentera negara itu.
Bagaimanapun, Direktorat Perisikan Utama Kementerian Pertahanan (GUR) menyiarkan rakaman audio di Telegram yang memaparkan tentera Russia sedang berbincang untuk menubuhkan terminal Starlink di timur Ukraine.
“Kes penggunaan peranti oleh tentera Russia telah didaftarkan. Ia mula digunakan secara sistematik,” kata jurucakap GUR, Andriy Yusov.
Sementara itu, agensi tersebut menerusi kenyataan memaklumkan terminal Starlink digunakan untuk menyediakan akses internet kepada unit Briged Serangan Udara ke-83 Russia yang ketika ini bertempur berhampiran bandar Klishchiivka dan Andriivka di wilayah timur Donetsk yang sebahagiannya diduduki.
Beberapa laporan dari Ukraine mendakwa Russia sedang mendapatkan peralatan Starlink di beberapa tempat seperti Dubai.
Komponen teknikal Barat kerap ditemukan antara senjata Russia ketika Moscow menjadi lebih mahir mengelak sekatan dan sering mengimport barangan melalui negara ketiga.










