NEW YORK: Pekerja Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan New York (MTA) dipuji kerana memulangkan semula beg mengandungi wang tunai AS$30,000 (RM143,392) kepada pemiliknya.
Penolong Konduktor, Christopher Nocito berkata, dia menjumpai beg itu tertinggal di dalam kereta api Long Island Rail Road (LIRR) menuju ke Ronkonkoma.
“Saya mendapati beg itu penuh dengan wang tunai.
“Saya diberitahu ada AS$30,000 di dalamnya. Saya sebenarnya tidak mengiranya ketika menjumpainya,” kata Nocito kepada WABC-TV.
Detektif, Kristin Riker bersama Polis MTA berjaya menjejaki pemilik beg tersebut menerusi maklumat yang ada di dalamnya.
“Saya sedang meneliti beg itu jika ada resit atau nama. Pemiliknya ada meninggalkan buku jadual di dalam beg dan saya melihat orang ini mempunyai temu janji untuk memeriksa keretanya.
“Saya menghubungi mekanik itu dan menghantar gambar, bertanya sama ada dia boleh membantu saya mengenal pasti siapa orang itu. Akhirnya kami berjaya menemukan pemiliknya sebelum meminta dia datang mengambil beg itu,” katanya.
Kes serupa menjadi tajuk utama tahun lalu apabila seorang wanita berjaya menemukan semula beg mengandungi AS$12,000 (RM57,356) yang hilang semasa menaiki kereta api LIRR dari Babylon ke Rockville hasil kejujuran kakitangan MTA.










