SINGAPURA: Singapura memulangkan sekitar 7.5 juta dolar (RM26.5 juta) bayaran cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disalah kutip oleh 18 perkhidmatan kerajaan sepanjang lima tahun lepas.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, bayaran untuk 18 perkhidmatan kawal selia disalah anggap sebagai yuran pemprosesan oleh enam agensi termasuk Agensi Estet, Lembaga Perumahan dan Agensi Makanan Singapura yang menguruskan perkhidmatan berkenaan.
“Akibat kesilapan klasifikasi, GST dikutip ketika orang ramai dan perniagaan membayar yuran untuk perkhidmatan seperti memperbaharui lesen ejen hartanah, memohon lesen mengendalikan syarikat pemprosesan makanan atau menyewakan flat.
“Agensi-agensi itu sudah mengambil langkah segera untuk menghentikan caj GST ke atas yuran tersebut setakat 14 Februari dan akan mula menghubungi pembayar cukai yang terjejas mulai Mac ini.
“MOF dan enam agensi memohon maaf atas kesilapan itu,” jelasnya.
Lapor The Straits Times Singapore, bayaran balik itu akan dibuat bersama dengan faedah 5.5 peratus setahun.
Kesilapan itu pertama kali ditemukan dalam semakan dalaman oleh kementerian berkenaan pada November tahun lalu ketika melihat bagaimana GST dikenakan ke atas yuran serta caj kerajaan.
Semua agensi yang terlibat dalam perkara tersebut terletak di bawah Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga.
GST ke atas urus niaga yang terjejas itu adalah antara di bawah 1 hingga kira-kira 1,500 dolar Singapura (RM3.54 hingga RM5,321) dengan kira-kira 90 peratus daripadanya dikenakan kepada individu manakala 10 peratus lagi melibatkan perniagaan.
MOF berkata, agensi itu dikehendaki oleh undang-undang untuk menyimpan rekod transaksi sehingga lima tahun termasuk tempoh yang terjejas bermula 1 Januari 2019.
Bagi mengelakkan ralat sedemikian pada masa hadapan, MOF memaklumkan akan membuat perubahan kepada Akta GST untuk menetapkan senarai yuran kawal selia di mana cukai berkenaan tidak sepatutnya dikenakan.
Pindaan perundangan tersebut akan dibentangkan dalam beberapa bulan akan datang.










