SINGAPURA: Kira-kira 350,000 nyamuk jantan Aedes aegypti berbakteria Wolbachia dilepaskan di kawasan Clementi bagi memperluaskan usaha memerangi wabak denggi yang semakin meningkat di Singapura kini.
Menjelang suku pertama tahun ini, nyamuk berkenaan akan dilepaskan di lima tapak kediaman dan flat yang meliputi 480,000 isi rumah.
“Perluasan projek itu juga akan menyaksikan 11 juta nyamuk jantan Aedes aegypti berbakteria Wolbachia dihasilkan setiap minggu, meningkat daripada tujuh juta pada 2023,” kata Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Lapor Channel News Asia (CNA), pembebasan nyamuk itu berlaku kurang seminggu selepas NEA menggesa tindakan segera diambil untuk mengekang bilangan nyamuk Aedes berikutan peningkatan besar kes demam denggi di negara itu.
“Peningkatan berterusan kes denggi mingguan sejak lebih dua bulan lalu menjadi kebimbangan utama kami dan kemungkinan didorong oleh penularan pantas penyakit di kawasan dengan populasi nyamuk Aedes yang tinggi.
“Bilangan habitat pembiakan nyamuk Aedes yang ditemui di kediaman bulan lepas juga meningkat dua kali ganda berbanding Januari 2023,” jelas agensi itu.
Gabungan van dan pelepasan manual digunakan di tapak-tapak kajian di Tampines dan Marine Parade dan NEA sedang merancang untuk membangunkan sumber tambahan bekalan nyamuk jantan Aedes aegypti berbakteris Wolbachia selain kapasiti sedia ada.
Di bawah projek berkenaan, nyamuk tersebut dilepaskan untuk mengawan dengan nyamuk betina Aedes aegypti di kawasan perbandaran bagi menghasilkan telur yang tidak menetas.
Langkah berterusan dijangka mengurangkan jumlah nyamuk Aedes aegypti dan risiko penularan denggi.
Sejak Projek Wolbachia bermula pada 2016, NEA melihat perkembangan positif di beberapa tapak kajian dengan pengurangan lebih 90 peratus jumlah nyamuk Aedes aegypti di Bukit Batok, Choa Chu Kang, Tampines dan Yishun.











