Raja Jordan sertai misi airdrop bantuan di Gaza

Raja Jordan sertai misi airdrop bantuan di Gaza

RAJA Abdullah II sertai latihan ketenteraan dengan pasukan khas Jordan di lokasi yang tidak didedahkan. - REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMMAN: Raja Jordan, Raja Abdullah II dilaporkan mengambil bahagian dalam misi airdrop atau menggugurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Langkah itu dilihat menonjolkan peranan kerajaan Jordan dalam mendesak Israel berhenti menyekat usaha membantu menangkis penyakit, kebuluran di wilayah yang dilanda konflik.

Sebuah video yang dikeluarkan oleh stesen televisyen milik kerajaan, Al Mamlaka menunjukkan Raja Abdullah II memakai pakaian dan kelengkapan tentera menaiki pesawat dalam misi terbaharu tentera udara Jordan untuk menghantar bekalan perubatan segera ke hospital  di kawasan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut media rasmi, ia merupakan misi penghantaran bantuan yang terbaharu.

Setakat ini, Jordan sudah melakukan 11 misi airdrop, dengan sekurang-kurangnya dijalankan bersama tentera udara Perancis dan Belanda, untuk menyampaikan bantuan perubatan.

Pada Disember lalu, anak perempuan kedua Raja Jordan iaitu Puteri Salma dan seorang juruterbang tentera udara, menyertai misi airdrop itu.

Raja Jordan yang lantang menggesa supaya kempen Israel dihentikan, mengadakan lawatan kerja ke ibu kota utama negara Barat dan dijangka bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden di Washington untuk menggesa gencatan senjata segera.

Raja Abdullah II akan mendesak Washington untuk memberi tekanan kepada Israel supaya menarik balik sekatan agar dapat menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat Palestin,.

Menurut pegawai, Raja Abdullah II bertitah sekatan itu memburukkan lagi nasib lebih dua juta penduduk Palestin yang berdepan risiko kebuluran yang semakin meningkat.

Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken semasa lawatan kerja  ke Amman pada bulan lalu memuji peranan dan kepimpinan Jordan dalam menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Jordan berjaya menggesa Israel membenarkan Program Makanan Sedunia (WFP) menghantar bekalan ke Gaza melalui laluan darat lain yang bermula dari Jordan sekali gus membantu mengurangkan tekanan ke atas pintu masuk utama Rafah yang terhad kapasitinya.

Jordan yang berkongsi sempadan dengan Tebing Barat, menyuarakan kebimbangan bahawa konflik Gaza boleh merebak, dengan keganasan yang lebih meluas oleh peneroka bersenjata yang didorong oleh tentera mencetuskan penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin ke seberang Sungai Jordan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini