Raja Charles ucap terima kasih atas sokongan rakyat selepas diagnosis kanser

Raja Charles ucap terima kasih atas sokongan rakyat selepas diagnosis kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Raja Britain, Raja Charles III menyatakan terima kasih setulus hati kepada semua rakyat yang menzahirkan rasa simpati mereka, dalam kenyataan pertamanya sejak disahkan menghidap kanser.

Istana Buckingham berkata, pada hari Isnin lalu Raja Charles sudah memulakan rawatan, tetapi tidak menyatakan jenis kanser yang dihidapinya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya atas banyak mesej sokongan dan ucapan selamat yang saya terima dalam beberapa hari kebelakangan ini.

“Seperti semua orang yang terjejas oleh kanser akan tahu, fikiran yang baik adalah keselesaan dan dorongan yang paling besar,” tulis perutusan itu.

Nota itu diterbitkan di laman web raja berusia 75 tahun itu dan halaman rasmi keluarga diraja di platform media sosial X.

Raja Charles turut menzahirkan rasa gembiranya mendengar bagaimana perkongsian diagnosis itu membantu menggalakkan pemahaman orang ramai mengenainya selain menghargai semua organisasi yang menyokong pesakit kanser serta keluarga mereka di seluruh United Kingdom (UK) dan dunia.

“Kekaguman seumur hidup saya untuk penjagaan dan dedikasi mereka yang tidak kenal penat adalah lebih besar daripada pengalaman peribadi saya sendiri,” katanya mengakhiri perutusan itu.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain melaporkan minggu ini, diagnosis kanser Raja Charles mencetuskan lonjakan carian dalam talian untuk mendapatkan nasihat tentang penyakit itu.

Raja Charles berehat daripada tugas awam semasa menerima rawatan dan kini tinggal di kediaman negara diraja Sandringham di timur England.

Beliau meneruskan beberapa tugas pentadbiran dan mengadakan pertemuan mingguan dengan Perdana Menteri, Rishi Sunak melalui telefon minggu ini.

Pewaris takhta, Putera William kini memikul sebahagian besar tugas beliau bersama kakak Raja Charles, Puteri Anne dan isterinya, Ratu Camilla.

Sementara itu, Putera Harry terbang ke Britain untuk menziarahi Raja Charles Selasa lalu.

Mereka mengadakan pertemuan selama 45 minit di kediaman Raja Charles di Clarence House di London sebelum Putera Harry terbang pulang ke Amerika Syarikat (AS).-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN