KAHERAH: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva mendakwa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal menyelesaikan konflik antarabangsa dan mengkritik kekejaman Israel yang semakin berleluasa di Gaza.
“Tingkah laku Israel tidak mempunyai sebab yang jelas. Hanya dengan menggunakan alasan untuk memerangi Hamas, Zionis membunuh wanita dan kanak-kanak,” katanya selepas pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
Bercakap kepada Liga Arab, Lula berkata, Brazil mengutuk serangan Hamas ke atas orang awam Israel pada 7 Oktober lalu, tetapi menyifatkan tindak balas yang dilakukan Israel tidak seimbang, keterlaluan dan tidak boleh diterima.
Lula menegaskan, tidak akan ada keamanan tanpa penubuhan negara Palestin dan menggesa gencatan senjata segera untuk membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.
Pemimpin Brazil itu turut menggesa Palestin diiktiraf sebagai negara berdaulat dan diterima masuk ke PBB sebagai anggota penuh selain meminta pembaharuan segera dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
“Institusi pelbagai hala yang diwujudkan untuk membantu menyelesaikan masalah ini tidak berfungsi, itulah sebabnya Brazil komited untuk membuat perubahan yang diperlukan dalam badan tadbir urus global dan kami berharap mendapat sokongan Mesir.
“Ahli tetap UNSC perlu diperluaskan dan kuasa vetonya dimansuhkan. Ini kerana ahli tetap UNSC sendiri yang kini mencetuskan peperangan.
“Brazil juga menyokong kes Afrika Selatan terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza yang dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” tambahnya.
Dalam pada itu, Lula turut mengumumkan kerajaannya akan memberi sumbangan tambahan kepada Agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) yang kini sedang menghadapi masalah tunai.
Isu itu tercetus selepas Israel mendakwa 12 daripada 13,000 kakitangan UNRWA di Gaza terlibat dalam serangan pada 7 Oktober lalu.
“Tuduhan baru-baru ini terhadap kakitangan agensi itu perlu disiasat dengan betul, tetapi mereka tidak boleh melumpuhkannya. Justeru saya menyeru negara lain untuk terus mengekalkan dan meningkatkan sumbangan mereka,” katanya.-REUTERS










