JAKARTA: Calon presiden, Prabowo Subianto didakwa meminta nasihat daripada bekas Presiden Indonesia keenam, Susilo Bambang Yudhoyono untuk membentuk Kabinet kerajaan yang ideal.
Perkara itu dinyatakan oleh penganalisis politik dari Universiti Esa Unggul, Jamiluddin Ritonga.
Lapor Kompas.com, Jamiluddin menganggap Susilo Bambang yang popular dengan panggilan SBY mempunyai pengalaman membentuk Kabinet kerana sudah 10 tahun menjadi presiden.
Jamiluddin berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pertemuan antara Prabowo dan SBY di Cikeas pada minggu lalu.
Pada awalnya, Jamiluddin mendakwa SBY dan Prabowo dalam pertemuan tersebut mungkin membincangkan mengenai politik kontemporari di republik itu khususnya berhubung kemungkinan gandingan calon lain menggunakan hak untuk siasatan.
“Isu ini sangat penting bagi gandingan Prabowo-Gibran Rakabuming Raka kerana berkaitan dengan kemungkinan penipuan yang didakwa terhadap mereka,” katanya.
Menurut Jamiluddin, dakwaan tersebut boleh memberi implikasi politik yang besar terhadap kestabilan politik negara.
Justeru, Jamiluddin berkata, Prabowo mungkin meminta pandangan daripada SBY bagi menjangkakan segala kemungkinan yang akan berlaku sekiranya hak siasatan benar-benar berlaku.
“Sudah tentu, ini termasuk usaha untuk menggagalkan realisasi hak untuk siasatan,” katanya.
Tambah Jamiluddin, beliau percaya Prabowo mungkin akan meminta pandangan berhubung pembentukan Kabinet pada masa hadapan.
“Prabowo pasti akan meminta nasihat SBY yang berpengalaman sebagai Presiden Indonesia keenam.
“Input SBY sangat kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam membentuk Kabinet,” katanya.











