JAKARTA: Seorang pegawai jawatankuasa pusat pengundian dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat keletihan melampau selepas bekerja untuk tempoh panjang pada pilihan raya umum Indonesia (Pemilu) semalam.
Lapor Detik News, pegawai dikenali sebagai Supardi meninggal dunia di Hospital Dradjat di wilayah Serang.
Dilaporkan, Supardi bertugas di pusat pengundi daerah Cikeusal, wilayah Serang.
Supardi dikejarkan ke pusat kesihatan itu setelah muntah darah dan hampir pitam ketika sedang bertugas di pusat mengundi tersebut.
Pegawai Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) Serang, Furqon memaklumkan Supardi mengadu berasa sakit semasa proses penyeliaan pilihan raya.
“Supardi diminta berehat semalam, malah selepas beberapa jam dia disuruh pulang ke rumah.
“Namun, mangsa berasa bertanggungjawab dan datang semula ke pusat mengundi.
“Supardi kemudian muntah darah dan dikejarkan ke Pusat Kesihatan Komuniti Serang sebelum dibawa ke Hospital Dradjat.
“Supardi diisytiharkan meninggal dunia di Hospital Dradjat,” katanya.
Tambah Furqon, berdasarkan maklumat keluarga mangsa, Supardi memang mempunyai sejarah penyakit komplikasi.










