JAKARTA: Sekurang-kurangnya 114 petugas Pilihan Raya Umum Indonesia (Pemilu) dilaporkan meninggal dunia dan lebih 15,000 lagi jatuh sakit sejak 14 Februari lalu.
Pada 14 Februari lalu, Pemilu dijalankan serentak dengan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 dan disifatkan sebagai pilihan raya sehari terbesar di dunia.
Angka kematian tahun ini menunjukkan penurunan ketara berbanding 900 petugas yang meninggal dunia pada 2019.
Namun, para pemerhati pilihan raya menggesa perubahan segera bagi mengurangkan tekanan ke atas kakitangannya.
Penyelidik dari Persatuan Pilihan Raya dan Demokrasi (Perludem), Heroik Pratama menyifatkan kematian dan penyakit mencetus masalah kepada sistem demokrasi negara itu.
Katanya, ia berikutan format pilihan raya sehari mengakibatkan beban kerja yang tinggi untuk kakitangan pilihan raya.
Dilaporkan, tahun ini, lebih 5.7 juta petugas pilihan raya bertugas di lebih 820,000 pusat mengundi di seluruh negara yang mempunyai 204.8 juta pengundi berdaftar.
Selain logistik yang kompleks, beberapa bahagian di negara itu turut mengalami cuaca buruk ketika hari pengundian.
Banjir besar yang melanda wilayah Jawa menyebabkan proses pengundian terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam.
Sementara itu, Heroik berkata, Pilpres dan pilihan raya umum diadakan secara berasingan sebelum tahun 2019.
Jelasnya, selepas pilihan raya sehari mula diadakan pada 2019, Universiti Gadjah Mada menjalankan kajian yang mendedahkan anggota penganjur pilihan raya (KPPS) bekerja purata 20 hingga 22 jam pada hari pengundian.
“Tiada tempoh berehat dalam proses pengundian dan pengiraan untuk mengelak daripada keraguan dan penipuan.
“Ini menyebabkan beban kerja yang tinggi, jadi kakitangan rasa letih dan jatuh sakit,” katanya. – AGENSI










