PBB tolak pemindahan paksa di Gaza

PBB tolak pemindahan paksa di Gaza

PENDUDUK Palestin menaiki trak yang penuh dengan barangan peribadi  meninggalkan Rafah untuk menuju ke tengah Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak sama sekali akan terlibat dalam sebarang tindakan pemindahan paksa membabitkan rakyat Palestin yang kini tinggal di Rafah memandangkan tiada lagi tempat selamat di Gaza bagi penduduk berkenaan.

Perkara itu ditegaskan oleh jurucakap bagi pihak Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Stephane Dujarric dalam satu temubual.

Sebelum ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tentera supaya bersiap sedia melancarkan serangan di bandar Rafah yang kini menempatkan kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin.

Rafah yang bersempadan dengan Mesir, kekal sebagai tempat perlindungan terakhir bagi rakyat Palestin yang melarikan diri daripada pengeboman berterusan Israel di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu.  

Netanyahu dalam temubual bersama ABC News berjanji untuk menyediakan `laluan selamat’ untuk orang awam keluar dari Rafah.

Bagaimanapun, temu bual itu tidak menyatakan ke mana sejumlah besar orang yang berkumpul berhampiran sempadan dengan Mesir akan pergi.

Ketika ditanya sama ada PBB akan mengambil bahagian dalam misi pemindahan sedemikian, Dujarric menegaskan tidak sama sekali akan terlibat.

Kata beliau, pihaknya mahu memastikan apa-apa yang berlaku, dilakukan dengan menghormati undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam sepenuhnya.  

“Kami tidak akan terlibat dalam pemindahan paksa penduduk. Sebenarnya tiada tempat yang selamat di Gaza pada masa ini.

“Anda tidak boleh menghantar penduduk kembali ke kawasan yang dipenuhi dengan senjata, apatah lagi kekurangan tempat tinggal,” kata Dujarric yang merujuk kepada bahagian utara dan tengah Semenanjung Gaza.

BANTUAN KEMANUSIAAN TIDAK CUKUP  

Dalam pada itu, Dujarric mengulangi semula bantuan kemanusiaan yang memasuki Gaza masih tidak mencukupi.

Oleh itu, beliau memberi amaran bahawa bekalan sedia ada pada ketika ini mungkin dapat bertahan selama beberapa hari sahaja.   

Minggu lalu, Dujarric menekankan keperluan untuk memastikan rakyat Palestin yang berada di Rafah dilindungi.

“Kami tidak akan menyokong pemindahan secara paksa dalam apa cara sekalipun kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Dilaporkan, Israel melakukan pengeboman tanpa henti dan serangan darat di Gaza sejak serangan 7 Oktober tahun lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 28,340 penduduk Palestin terbunuh di Gaza yang mana kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak.

POTONG BANTUAN KETENTERAAN ISRAEL

Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borell menggesa AS memotong bekalan senjata ke Israel disebabkan jumlah korban awam yang tinggi dalam perang di Gaza. 

Minggu lalu, Presiden AS, Joe Biden memaklumkan tindak balas Israel terhadap serangan mengejut Hamas sudah sampai ke kemuncak, selain negara itu dan Barat sudah berulang kali menyatakan terlalu ramai orang awam terbunuh di Gaza.

“Jika anda percaya terlalu ramai orang terbunuh, mungkin anda harus mengurangkan bekalan senjata untuk mengelakkan perkara itu berlaku.

“Sekiranya masyarakat antarabangsa percaya ini adalah satu ‘penyembelihan’ bahawa terlalu ramai orang dibunuh maka kita perlu memikirkan mengenai penghantaran bekalan senjata,” katanya. 

Dilaporkan, AS merupakan penyedia senjata asing paling penting bagi Israel yang mana kira-kira AS$3.8 bilion (RM18.11 bilion) bantuan ketenteraan merangkumi jet pejuang hingga bom dibekalkan setiap tahun.

Setakat ini, Washington tidak mempedulikan sebarang rayuan untuk memotong bantuan ketenteraan tersebut. – AFP/REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN