SACRAMENTO: Koleksi 10,568 patung robot Transformers milik seorang lelaki California berjaya membantunya meraih gelaran Rekod Dunia Guinness.
Mike Kaye berjaya merampas gelaran pemilik koleksi memorabilia Transformers terbesar daripada AJ Ard yang sebelum ini memegang rekod tersebut dengan 5,150 item unik karakter tersebut.
Kaye berkata, kecintaan terhadap barisan mainan itu bermula sejak 1984 ketika dia berusia empat tahun.
“Saya dan keluarga sering mengunjungi pasar raya Sears yang mempunyai banyak pilihan mainan Transformers Generasi 1.
“Saya hanya dibenarkan memilih satu permainan ketika itu, jadi saya memilih Hoist, sebuah trak tunda berwarna hijau dan oren. Dari situlah hobi mengumpul koleksi ini bermula,” katanya.
Menurut Kaye, dia berjaya mengumpul koleksi lengkap barisan robot Generasi 1 ketika di kolej, tetapi koleksinya tidak terhenti di situ.
Lelaki berusia 44 tahun itu gigih mengumpul keluaran baharu dan menggunakan laman jualan di internet untuk mencari patung eksklusif Jepun yang tidak memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS).
Kaye juga sering menghadiri konvensyen Transformers dengan figura kegemarannya ialah God Ginrai daripada siri Transformers Masterforce Jepun atau dikenali Powermaster Optimus Prime di AS.-AGENSI










