MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menegaskan kehadiran kapal tentera China di Laut China Selatan mencetuskan kebimbangan.
Bagaimanapun, Marcos Jr. memaklumkan tidak akan menghalang negaranya daripada mempertahankan kedaulatan wilayah maritim dan melindungi nelayannya.
“Kami akan terus memberi sokongan kepada semua nelayan kami yang mencari rezeki di kawasan ini.
“Malah, kami akan terus membantu mereka meskipun cubaan menyekat,” katanya.
Marcos Jr. berkata demikian kepada pemberita sebelum berlepas untuk lawatan kerja ke Australia.
Minggu lalu, Pengawal Pantai Filipina mengesan kehadiran kapal tentera laut China semasa misi rondaan sebuah kapal Biro Perikanan dan Sumber Akuatik (BFAR) di Scarborough Shoal yang dipertikaikan di Laut China Selatan.
PCG mendakwa kapal BFAR cuba dihalang oleh kapal Pengawal Pantai China (CCG).
Jelasnya, insiden itu berlaku ketika kapal itu sedang mengagihkan bahan api kepada nelayan Filipina di kawasan itu.
Scarborough Shoal terus menjadi titik pertikaian sejak China merampasnya dari Filipina pada 2012.
Sejak itu, Beijing mengerahkan bot peronda yang dikatakan Manila mengganggu kapal Filipina serta menghalang nelayannya daripada mengakses beberapa kawasan yang kaya dengan ikan di sana.
Pemasangan penghadang terapung oleh China sebelum ini turut menghalang kemasukan kapal Filipina ke sekitar Laut China Selatan. – REUTERS










