SANTIAGO: Kebakaran hutan yang melanda sebahagian besar Chile ketika ini dipercayai merupakan paling buruk dalam rekod negara itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh agensi bencana Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ketika pasukan bomba bergelut untuk mengawal lebih 160 kebakaran selepas beberapa hari dilanda bencana itu.
Lapor CNN, menurut pihak berkuasa Chile, setakat ini, kebakaran hutan itu meragut sekurang-kurangnya 131 nyawa dan ratusan penduduk masih hilang.
Pegawai mengesahkan 35 mayat mangsa berjaya dikenal pasti dan 79 bedah siasat sudah dijalankan.
Berdasarkan laporan Pejabat PBB untuk Pengurangan Risiko Bencana, beratus-ratus lagi masih hilang dan angka kematian dijangka meningkat dengan ketara.
Kebakaran hutan itu menjejaskan sebahagian besar kawasan tengah dan utara Chile, dengan memusnahkan ribuan rumah dan bangunan serta mengubah kebanyakan kawasan kejiranan menjadi abu.
Semalam, Presiden Gabriel Boric menyifatkan kebakaran itu sebagai `tragedi terbesar’ berlaku di negara itu sejak kejadian gempa bumi berukuran 8.8 magnitud mengorbankan ratusan orang pada 2010.
“Penduduk Viña del Mar, Quilpué dan Villa Alemana sedang mengalami situasi yang sangat dahsyat, luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Boric mengisytiharkan darurat ketika bandar pesisir pantai termasuk Viña del Mar dan Valparaiso diselubungi asap apabila kebakaran beralih dari kawasan hutan ke bandar.
Gambar pemandangan udara Viña del Mar menunjukkan sekitar jalanan di kawasan itu terjejas dan deretan rumah yang musnah.
Presiden Chile mengisytiharkan hari berkabung nasional selama dua hari bagi memperingati lebih 100 mangsa terkorban dalam kebakaran hutan di negara itu.
Dilaporkan, kebakaran hutan Chile didorong oleh kesan fenomena El Nino dan perubahan iklim yang mencetuskan kemarau dan gelombang haba yang lebih kerap.
Sejak sedekad lalu, Chile bergelut dengan `kemarau besar’, tempoh paling lama dalam sekurang-kurangnya 1,000 tahun, secara tidak langsung memberi tekanan terhadap bekalan air dan mengeringkan landskap serta mencetuskan kebakaran.
Negara itu juga dilanda suhu tinggi yang luar biasa sejak beberapa hari kebelakangan ini.










