Jepun berjaya lancar roket generasi baharu H3

Jepun berjaya lancar roket generasi baharu H3

ROKET H3 Jepun berlepas dari landasan pelancaran di Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Jepun berjaya melancarkan roket perdana generasi baharu H3 ke orbit dan membina semula program angkasa lepasnya setelah berdepan dua kegagalan penerbangan tahun lalu.

Pelancaran itu juga menandakan kejayaan kedua berturut-turut untuk Agensi Eksplorasi Aeroangkasa Jepun (JAXA) selepas misi pendarat bulan diberi nama SLIM bulan lalu yang menjadikan Jepun negara kelima meletakkan kapal angkasa di satelit bumi itu.

H3 berlepas tepat pukul 9:22 pagi (waktu tempatan) kelmarin dan selamat memasuki orbit dengan saintis di Pusat Angkasa Tanegashima di selatan Jepun dilihat bersorak gembira sambil berpelukan.

Roket itu mengeluarkan mikrosatelit dan satelit tiruan dalam penerbangan hampir dua jam.

“H3 seumpama baru dilahirkan dan terus sahaja mengeluarkan ‘tangisan’ pertamanya.

“Kini kami perlu mula bersiap sedia untuk pelancaran H3 ketiga secepat mungkin,” kata Pengurus Projek JAXA, Masashi Okada yang mengetuai pembangunan roket baharu itu selama hampir sedekad.

Mikrosatelit H3 dijangka membantu usaha pencegahan bencana dan memantau keadaan operasi kilang.

H3 dinamakan sebagai roket utama Jepun yang lebih fleksibel serta kos efektif dan direka untuk menggantikan H-IIA yang sudah beroperasi sejak 2001.

Roket berkenaan dibangunkan bersama Mitsubishi Heavy Industries untuk membawa muatan 6.5 tan metrik ke angkasa dengan harga serendah lima bilion yen (RM95.4 juta) setiap pelancaran, kira-kira separuh daripada kos pendahulunya.

JAXA berharap kos H3 yang lebih rendah dan kapasiti muatan lebih besar akan menarik pelanggan global untuk menghantar bekalan ke Stesen Angkasa Antarabangsa dan menyokong program penerokaan bulan Artemis yang diketuai Amerika Syarikat (AS).

Pelancaran pertama pada Mac tahun lalu berakhir dengan kawalan darat memusnahkan roket 14 minit setelah berlepas daripada landasan apabila enjin peringkat kedua gagal menyala.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN