Israel usul pelan tadbir Gaza pasca perang

Israel usul pelan tadbir Gaza pasca perang

KEPULAN asap tebal memenuhi ruang udara di Khan Yunis, selatan Gaza ketika pengeboman berterusan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengusulkan pelan mentadbir Gaza pasca perang yang membayangkan pentadbiran di bawah Israel tanpa kaitan dengan Hamas atau penyokong asing di wilayah itu. 

Bagaimanapun, pelan itu dikecam hebat oleh sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS), selain ditolak oleh Pihak Berkuasa Palestin dan Hamas. 

Pelan yang dibentangkan kepada Kabinet keselamatan Netanyahu, akan menyaksikan tentera Israel meneruskan perang terhadap Hamas sehingga mencapai matlamat utama.

Cadangan itu termasuk misi memusnahkan Hamas dan Jihad Islam serta memastikan pembebasan semua tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Selepas perang tamat, hal ehwal awam Gaza akan dikendalikan oleh ‘pegawai tempatan berpengalaman pentadbiran’ dan pihak ‘tidak mempunyai kaitan dengan negara atau entiti menyokong keganasan’.

Menurut pelan itu, selepas perang, tentera Israel akan mempunyai ‘kebebasan tanpa batas’ untuk beroperasi di seluruh Gaza bagi menghalang sebarang kebangkitan semula aktiviti keganasan.

“Pelan itu menyatakan Israel akan bergerak ke hadapan dengan projek sedia ada untuk mewujudkan zon penampan keselamatan di sebelah Palestin di Semenanjung Gaza,” jelas pelan itu.

Berdasarkan pelan itu, zon penampan keselamatan itu akan dikekalkan ‘selagi ada keperluan keselamatan’.

Pegawai Hamas yang berpangkalan di Beirut, Osama Hamdan mengecam pelan itu dengan menegaskan ia ‘tidak akan berjaya’.

Katanya, rancangan itu secara tidak langsung menunjukkan Netanyahu ‘benar-benar enggan mengiktiraf negara Palestin’ dan ‘berkeras untuk memisahkan Tebing Barat dan Gaza serta Baitulmuqaddis dan Tebing Barat’.

“Ini bermakna rancangan sebenar entiti ini (Israel) adalah untuk merampas tanah Palestin dan memecah-belahkannya,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby berkata, Washington `secara konsisten jelas dengan rakan sejawat Israel’ mengenai apa diperlukan untuk Gaza selepas perang.  

“Rakyat Palestin harus mempunyai suara dan undi melalui Pihak Berkuasa Palstin yang dibangkitkan semula.

“Kami tidak percaya pada pengurangan wilayah Gaza dan tidak mahu melihat sebarang perpindahan secara paksa rakyat Palestin di luar Gaza,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric menyifatkan pelan pasca perang Gaza bertentangan dengan penyelesaian dua negara.

Katanya, rancangan itu bertentangan dengan segala yang pihaknya harapkan termasuk untuk melihat Israel dan Palestin hidup bersebelahan dalam keadaan damai. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×