ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang dipenjara sejak Ogos tahun lalu, menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengisytiharkan kemenangan dalam pilihan raya umum negara itu.
Memetik laporan Agensi Anadolu, dalam satu video dihasilkan menerusi AI, Imran memuji orang ramai yang keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
Malah, katanya, perubahan yang belum pernah berlaku sebelum ini di negara itu menyebabkan parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan menang besar dalam pilihan raya umum 2024.
“Kami sedang menang di lebih 170 kerusi Dewan Rakyat,” katanya dalam satu mesej disiarkan di aplikasi X.
Selain itu, Imran turut mengecam tindakan pemimpin Liga-N Muslim Pakistan (PML-N), Nawaz Sharif kerana mengisytiharkan kemenangan walaupun keputusan bilangan kerusi partinya berada di belakang PTI.
Imran juga menggesa orang ramai untuk meraikan kemenangan PTI dan mengadakan doa selamat sebagai tanda kesyukuran.
“Selepas dua tahun berdepan penindasan dan ketidakadilan, PTI berjaya memenangi pilihan raya umum 2024 dengan majoriti dua pertiga,” katanya.
Parti bebas yang bergabung dengan PTI memenangi sekurang-kurangnya 95 kerusi, diikuti PML-N dengan 66 kerusi dan Parti Rakyat Pakistan dengan 51 kerusi.










