THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan untuk meneruskan kes yang difailkan oleh Ukraine terhadap Russia berhubung insiden pencerobohan di negaranya pada 2022.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan mempunyai bidang kuasa ke atas sebahagian besar hujah yang dibuat oleh Kyiv.
Ukraine mengheret Russia ke ICJ, beberapa hari selepas insiden pencerobohan itu, dengan berusaha sedaya upaya memerangi negara itu menggunakan semua pendekatan termasuk undang-undang, diplomatik dan ketenteraan.
Apabila Presiden Russia, Vladimir Putin mengarahkan pencerobohan pada 24 Februari 2022, sebahagian tuduhannya adalah rakyat pro-Russia di timur Ukraine `tertakluk kepada buli dan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Kyiv’.
Ukraine memfailkan saman di ICJ dengan menafikan dakwaan berkenaan, selain menegaskan Russia menggunakan isu `pembunuhan beramai-ramai’ sebagai alasan untuk melakukan pencerobohan yang bertentangan dengan Konvensyen Genosid PBB 1948.
Dalam keputusan awal pada Mac 2022, ICJ memihak kepada Ukraine dan mengarahkan Russia menghentikan pencerobohan dengan serta-merta.
Namun, Russia membantah penghakiman tersebut dengan menyatakan ICJ tidak mempunyai hak undang-undang untuk membuat keputusan dalam kes itu.
ICJ menolak hujah Moscow dengan menyatakan pihaknya mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan hujah Ukraine bahawa `tiada bukti boleh dipercayai bahawa Ukraine bertanggungjawab melakukan pembunuhan beramai-ramai’ yang mana Russia mewajarkan pencerobohannya.
Bagaimanapun, Ukraine juga mendakwa dalam hujahnya bahawa tindakan keras digunakan oleh Russia semasa pencerobohan itu bertentangan dengan Konvensyen Genosid.
ICJ mengakui pihaknya tidak mempunyai kecekapan untuk memutuskan bahagian itu dalam kes berkenaan.
Malah, mahkamah itu juga memaklumkan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai perkara lain yang dibangkitkan oleh Ukraine.
Perkara itu antara lain mengenai pengiktirafan Moscow terhadap wilayah pemisah Lugansk dan Donetsk yang dilihat melanggar Konvensyen.
Sementara itu, peguam mewakili Ukraine, Anton Korynevych menyifatkan keputusan ICJ sebagai `kemenangan untuk Ukraine’ selain menyambut baik kes itu kini akan diteruskan.
“Kini, mahkamah akan membuat keputusan berhubung isu bahawa Ukraine tidak bertanggungjawab terhadap beberapa genosid, mitos palsu didakwa oleh Russia yang dilakukan Kyiv di Donbas sejak 2014,” katanya. – AFP










