SINGAPURA: Pengembara keluar dari republik ini dijangka akan membayar tambang penerbangan lebih tinggi disebabkan levi penggunaan bahan api mampan yang dikenakan oleh kerajaan mulai tahun 2026.
Ia merupakan sebahagian langkah mewajibkan pesawat berlepas dari Singapura menggunakan bahan api penerbangan yang mampan demi memelihara alam sekitar.
Lapor The Strait Times, hasil kutipan levi penumpang itu akan digunakan untuk pembelian secara pukal bahan api penerbangan mampan yang perlu digunakan oleh syarikat penerbangan sekali gus memulakan pelaksanaannya.
Bahan api mesra alam itu dilaporkan tiga hingga lima kali lebih mahal berbanding bahan api biasa.
Bagaimanapun, ia dilihat sebagai langkah penting bagi sektor penerbangan dalam usaha menyahkarbon.
Dilaporkan, bahan api penerbangan itu sebahagian besarnya diperbuat daripada bahan buangan seperti minyak masak terpakai.
Walaupun butiran terperinci masih belum dimuktamadkan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) membuat anggaran awal mengenai levi tambahan.
CAAS mencadangkan penumpang kelas ekonomi boleh dikenakan levi tambahan sebanyak tiga dolar Singapura (RM10.66) untuk penerbangan jarak dekat, enam dolar Singapura (RM21.34) jarak sederhana dan 16 dolar Singapura (RM56.90) bagi destinasi jauh seperti ke Bangkok, Tokyo dan London.
Anggaran itu berdasarkan sasaran ditetapkan Singapura bagi bahan api penerbangan mampan untuk membentuk satu peratus daripada semua bahan api pesawat digunakan di Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Seletar pada tahun 2026.
Matlamat negara itu adalah untuk mencapai tiga hingga lima peratus penggunaan bahan api mampan menjelang 2030.
Inisiatif itu merupakan sebahagian pelan tindakan hab udara mampan yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat pada Sidang Kemuncak Penerbangan Changi Kedua di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.
Pelan tindakan itu menekankan 12 inisiatif bagi republik ini menangani pelepasan karbon dalam sektor penerbangan.
Ia antara lain, dengan objektif jangka sederhana untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi lapangan terbang kepada 326 kiloton setahun pada 2030, kira-kira 20 peratus lebih rendah berbanding jumlah direkodkan pada 2019.
Menjelang tahun 2050, Singapura menyasarkan untuk mencapai pelepasan karbon penerbangan domestik bersih-sifar dari operasi lapangan terbang serta pelepasan karbon penerbangan antarabangsa menerusi pesawatnya.
Sasaran itu tidak termasuk pembangunan Changi East yang merangkumi Terminal 5 kerana ia masih belum beroperasi setakat ini.
Menurut CAAS, Singapura menjadi negara pertama di dunia yang memperkenalkan levi untuk memenuhi matlamat bahan api penerbangan yang mampan.











