RAMALLAH: Hamas dan Pihak Berkuasa Palestin menuntut siasatan segera selepas laporan penemuan kira-kira 30 mayat dalam beg yang tertimbus di bawah runtuhan dan pasir di sebuah sekolah di utara Gaza.
Lapor The Palestin Chronicle, tentera Israel didakwa membunuh 30 tahanan Palestin di Beit Lahia, utara Semenanjung Gaza dan mayat mereka diletakkan di sekolah yang dikepung oleh kereta kebal berperisai.
Persatuan Tahanan Palestin (PPS) berkata, tentera Zionis menggari tangan dan menutup mata tahanan selepas membuka pakaian mereka.
“Mereka digari dan ditutup mata, yang merupakan petunjuk jelas bahawa tentera pendudukan menjalankan hukuman mati ke atas mereka.
“Pasukan pendudukan Israel meningkatkan hukuman mati di lapangan dan penculikan warga Palestin ketika pencerobohan mereka di Semenanjung Gaza memasuki hari ke-117.
“Terdapat juga peningkatan saksi daripada tahanan, termasuk kanak-kanak dan wanita yang mengalami pelbagai bentuk penganiayaan termasuk penderaan fizikal serta psikologi ketika mereka ditahan oleh tentera Israel,” kata PPS dalam satu kenyataan.
Ketika pencerobohan darat ke atas Gaza, tentera Israel menerbitkan gambar dan adegan mengerikan yang mendokumentasikan penahanan ratusan orang dalam keadaan yang merendahkan maruah manusia.
Organisasi itu berkata, data turut menunjukkan bahawa hukuman mati semakin meningkat di Gaza, berdasarkan kenyataan tahanan yang dibebaskan.
“Desakan Israel untuk mengekalkan tahanan Gaza mempunyai satu penjelasan, iaitu terdapat keputusan untuk memilih mereka dengan tujuan melakukan lebih banyak jenayah terhadap mereka secara rahsia,” jelasnya.
Terbaharu, dua tahanan dibunuh dalam penjara Israel, sekali gus meningkatkan jumlah tahanan yang mati dalam penjara sejak 7 Oktober tahun lalu kepada tujuh.
PPS berkata, Israel enggan memberikan sebarang maklumat dan mengeluarkan data lengkap tentang nasib dan lokasi tahanan Palestin kepada institusi hak asasi manusia antarabangsa.
Menurut pertubuhan tahanan, Israel baru-baru ini menguatkuasakan peraturan yang menghalang tahanan Gaza bertemu dengan peguam selama empat bulan lagi.










