JAKARTA: Enam pemimpin negara mengucapkan tahniah atas kemenangan tidak rasmi Prabowo Subianto yang memperoleh peratusan undi paling banyak dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) yang diadakan minggu lalu.
Ucapan tahniah itu dizahirkan kepada Menteri Pertahanan Indonesia itu meskipun proses pengiraan Pilpres masih berjalan.
Lapor Kompas.com, Prabowo memaklumkan enam pemimpin dari Russia, Britain, Australia, Malaysia, Singapura dan Sri Lanka menzahirkan tahniah kepadanya kerana menang dalam keputusan pengiraan awal Pilpres 2024.
Pemimpin berkenaan terdiri daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Richard Marles, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe.
Dalam pada itu, Setiausaha kepada Perdana Menteri Singapura, Chang Li Lin berkata, Hsien Loong turut membincangkan mengenai hubungan dua hala antara negaranya dan Indonesia iaitu dengan Prabowo.
“Hsien Loong dan Prabowo membincangkan untuk mengeratkan lagi hubungan bilateral antara kedua-dua negara,” kata Li Lin dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh pasukan kempen Prabowo.
Hsien Loong juga dilaporkan menghubungi Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk mengucapkan tahniah atas kejayaan melaksanakan pilihan raya umum secara lancar.
Jumaat lalu, Presiden Russia, Vladimir Putin mengucapkan tahniah kepada gandingan Prabowo-Gibran Rakabuming Raka yang mendahului perkiraan undian pada Pilpres 2024.
Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar Russia, Putin menyatakan bahawa hubungan antara kedua-dua negara berasaskan tradisi persahabatan yang baik dan saling hormat-menghormati serta terus berkembang pesat dalam pelbagai bidang.
“Saya yakin sebagai ketua negara anda akan memainkan peranan dalam memajukan lagi kerjasama antara Indonesia dan Russia secara keseluruhan demi kebaikan kedua-dua negara,” jelas kenyataan itu.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Prabowo.










