GAZA: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto menolak resolusi gencatan senjata segera di Gaza yang diusulkan Algeria mendapat kritikan meluas daripada pesaing dan sekutunya.
AS menggunakan kuasa veto kali ketiga bagi menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak di Gaza, sekali gus dilihat melumpuhkan institusi keamanan dunia itu.
Tindakan mengecewakan itu dibuat sehari selepas Washington mengedarkan resolusi gencatan senjata sementara yang dikaitkan dengan pembebasan semua tawanan Israel dari kawasan Palestin.
Undian dalam majlis 15 ahli itu menerima 13 sokongan dengan United Kingdom (UK) berkecuali, mencerminkan sokongan padu daripada negara-negara di seluruh dunia untuk menamatkan konflik dahsyat yang sudah meragut lebih 29,000 nyawa rakyat Palestin.
Duta China ke PBB, Zhang Jun lantang menyatakan kekecewaan dan ketidakpuasan hati yang kuat terhadap AS.
“Veto AS menghantar mesej yang salah, mendorong keadaan di Gaza menjadi lebih berbahaya. Bantahan terhadap gencatan senjata di Gaza tidak ada bezanya dengan memberi lampu hijau kepada penyembelihan berterusan.
“Hanya dengan memadamkan api peperangan di Gaza, dunia boleh menghalang api kekejaman dari neraka yang semakin merebak ke seluruh wilayah Asia Barat,” kata beliau dipetik Xinhua.
Duta Besar Russia ke PBB, Vasily Nebenzia berkata, veto AS menandakan satu lagi ‘halaman hitam’ dalam sejarah UNSC.
“AS cuba bermain dengan masa supaya Israel dapat menyelesaikan rancangan tidak berperikemanusiaan di Gaza, iaitu memaksa rakyat Palestin keluar dan ‘membersihkan’ sepenuhnya kawasan itu.
“Namun tidak kira betapa pahitnya undian itu, kami tidak sekali-kali akan berputus asa,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsi Duta Perancis, Nicolas de Riviere yang menegaskan akan terus berusaha supaya semua tawanan dibebaskan dan gencatan senjata dilaksanakan dengan segera di Gaza.
Duta Besar Qatar ke PBB, Alya Ahmed Saif Al Thani mengakui kesal dengan kegagalan UNSC menerima pakai resolusi yang digubal Algeria namun berjanji untuk terus memudahkan usaha mendapatkan gencatan senjata di Gaza.
Sementara itu Kementerian Luar Arab Saudi turut menekankan keperluan mendesak untuk mereformasi UNSC supaya badan itu dapat menjalankan tanggungjawabnya mengekalkan keamanan dan keselamatan dengan penuh kredibiliti tanpa dwistandard.
Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel Bermudez mengecam AS dan menyifatkan kuasa vetonya menjadikan negara itu turut terlibat dalam jenayah Israel terhadap rakyat Palestin.
Pengarah Kumpulan Hak Asasi Manusia Amnesty International, Agnes Callamard berkata, Washington mempunyai peluang jelas untuk melindungi orang awam Palestin tetapi gemar memilih jalan bertentangan di UNSC.
Pengarah Majlis Perhubungan Islam AS (CAIR) Nihad Awad berkata, penduduk Islam di negara itu sudah kehilangan kata-kata melihat sokongan berterusan Presiden, Joe Biden terhadap genosid di Gaza.
“Veto terbaharu AS terhadap resolusi gencatan senjata PBB sangat memalukan. Biden harus berhenti menjadi peguam bela kepada Presiden Israel, Benjamin Netanyahu dan mula bertindak seperti Presiden AS,” katanya dalam satu kenyataan.










