NEW YORK: Hakim mahkamah di New York memerintahkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayar sebanyak AS$355 juta (RM1.69 bilion) berhubung kes dakwaan penipuan.
Malah, hakim itu turut melarang Trump daripada mengendalikan syarikatnya di New York selama tiga tahun sekali gus memberi tamparan hebat kepada empayar perniagaan dan kedudukan kewangannya.
Trump yang hampir pasti menjadi calon presiden dari Republikan menjelang pilihan raya pada November ini, didapati bertanggungjawab menambahkan kekayaannya secara tidak sah dan memanipulasi nilai hartanah untuk mendapatkan pinjaman bank atau terma insurans.
Oleh kerana kes itu hanya membabitkan kesalahan sivil dan bukannya jenayah maka tiada hukuman penjara dikenakan.
Bagaimanapun, Trump sebelum keputusan mahkamah itu menyifatkan tindakan melarang menjalankan perniagaan di New York adalah sama seperti `hukuman mati korporat’ bagi ahli perniagaan sepertinya.
Trump yang ketika ini menghadapi 91 pertuduhan jenayah dalam kes lain, memanfaatkan masalah perundangannya untuk menaikkan semangat penyokongnya dan mengkritik lawannya, Presiden AS, Joe Biden dengan mendakwa tindakan itu bertujuan ‘menjejaskan peluangnya dalam pemilihan presiden’.
Namun, Hakim Arthur Engoron menyifatkan penalti dikenakan itu adalah wajar berdasarkan tingkah laku Trump.
“Mereka tidak merasa bersalah dan menyesal atas apa yang dilakukan,” kata Engoron berhubung kes membabitkan tuduhan menambah nilai aset untuk membuat lebih banyak wang, yang mana Trump dan dua anak lelakinya turut didakwa.
Anak lelaki Trump, Eric dan Donald Trump Jr juga didapati bertanggungjawab dalam kes itu dan diarah membayar lebih AS$4 juta (RM19.1 juta) setiap seorang, mendorong Trump Jr mendakwa di media sosial bahawa `pengaruh politik’ menentukan keputusan mahkamah.
Engoron juga melanjutkan tugas hakim yang sudah bersara, Barbara Jones, sebagai pemantau bebas hal ehwal perniagaan Trump, serta mengarahkan pelantikan pengarah pematuhan bebas kepada Pertubuhan Trump, dengan calonnnya akan ditentukan Jones.
Sementara itu, Trump menerusi media sosialnya menyelar keputusan itu dengan menggelarnya sebagai `penipuan sepenuhnya’.
Beliau juga mengecam hakim itu bersikap ‘tidak jujur’ dan mendakwa pendakwa raya membawa kes itu sebagai ‘terpalit rasuah’.
Peguam bela mewakili Trump iaitu Alina Habba menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai `ketidakadilan’ dan menyatakan akan memfailkan rayuan. – AFP










