Chile berkabung dua hari, peringati mangsa kebakaran hutan

Chile berkabung dua hari, peringati mangsa kebakaran hutan

TENTERA laut Chile membantu membersihkan rumah yang musnah akibat kebakaran hutan di Villa Independencia, wilayah Valparaiso di Chile. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VINA DEL MAR: Chile memulakan tempoh berkabung negara selama dua hari bagi mengenang lebih 100 mangsa terkorban dalam kebakaran hutan di negara itu.

Tempoh berkabung bermula kelmarin, diumumkan ketika operasi pencarian mangsa yang hilang masih diteruskan.    

Setakat ini, sekurang-kurangnya 123 orang maut dalam kebakaran hutan yang disifatkan sebagai bencana seumpamanya yang ketiga terburuk di dunia pada abad ini.

Jalanan dipenuhi dengan kenderaan yang hangus, serpihan dan abu selepas kebakaran menjejaskan penempatan di puncak bukit di kawasan pantai Valparaiso.

Di bandar peranginan Vina del Mar, para sukarelawan menghantar bekalan air, pakaian dan makanan selain menggunakan penyodok fan penyapu untuk membantu membersihkan di kawasan paling terjejas itu.

“Ketika ini, kami sedang mengalihkan serpihan dan kemudian akan membantu menghantar bekalan yang diperlukan ke setiap rumah,” kata sukarelawan dikenali sebagai Camila Perez.

Kebakaran itu melanda sejumlah besar rumah dan kereta serta sekam yang terbakar bersepah di merata jalan.

Agensi forensik negeri melaporkan angka kematian meningkat kepada 123 orang, dengan hanya 32 mangsa yang sudah dikenal pasti.

Menurut Timbalan Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Manuel Monsalve, kira-kira 15,000 rumah rosak akibat kebakaran itu.

Sebelum ini, Presiden Gabriel Boric memberi amaran angka kematian akibat kebakaran hutan boleh meningkat secara ketara dan operasi pencarian mangsa akan diteruskan.

Dilaporkan, kebanyakan kes kematian berlaku di Vina del Mar, tempat pelancongan popular yang terkenal dengan pantai dan taman botaninya.

Sementara itu, Datuk Bandar Macarena Ripamonti memberitahu sekurang-kurangnya 190 orang masih hilang di bandar itu manakala 20,000 penduduk terjejas akibat kebakaran hutan.

Kebakaran hutan yang semakin marak di wilayah itu pada Jumaat lalu, didorong angin dan berlaku di tengah-tengah gelombang haba yang menyaksikan suhu mencapai 40 darjah Celsius.

Pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada kebakaran itu disengajakan.

Ketika keadaan cuaca bertambah baik, pasukan bomba masih bergelut memadamkan kira-kira 40 kebakaran di seluruh negara. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN