WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan penduduk Palestin yang kini `berkerumun’ di bandar Rafah merupakan golongan mudah terdedah dan harus dilindungi.
Lapor BBC, Biden berkata, Israel harus mengambil langkah `berwibawa’ untuk melindungi lebih sejuta rakyat Palestin yang berlindung di bandar selatan Gaza.
Israel memperhebatkan serangan udara ke atas Rafah sejak beberapa hari kebelakangan ini, dengan sejumlah mangsa terkorban dilaporkan.
Seorang doktor Palestin memaklumkan penduduk di Rafah kini hidup dalam ketakutan.
Minggu lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan pasukan tentera supaya bersiap sedia meluaskan operasi darat di bandar Rafah yang kini menempatkan kira-kira 1.4 juta penduduk Palestin.
Netanyahu berikrar untuk mengalahkan kumpulan Hamas yang didakwanya bersembunyi di bandar itu.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menyifatkan sebarang serangan dilancarkan hanya akan memburukkan lagi situasi dan ramai orang awam berkemungkinan terkorban.
Lebih separuh daripada 2.3 juta penduduk Gaza kini bersesak ke Rafah, dengan ramai yang tinggal di dalam khemah manakala makanan, air dan ubat-ubatan semakin berkurangan.
Menurut Kementerian Kesihatan dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 28,473 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 68,000 cedera akibat serangan Israel di Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober tahun lalu.
Biden sekali lagi menggesa perlindungan penduduk Rafah selepas mengadakan pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II di Washington pada Isnin lalu.
Tegas beliau, sebarang operasi ketenteraan besar-besaran di Rafah tidak harus diteruskan melainkan terdapat pelan berwibawa bagi memastikan keselamatan penduduk yang berlindung di sana.
“Ramai orang yang berada di sana sudah berpindah beberapa kali, melarikan diri dari keganasan untuk ke utara dan kini bersesak di Rafah, golongan mudah terdedah.
“Mereka harus dilindungi, malah dari awal lagi, kami menentang sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dari Gaza,” katanya.
Minggu lalu, White House memaklumkan pihaknya tidak akan menyokong operasi besar-besaran Israel di Rafah tanpa pertimbangan sewajarnya terhadap golongan pelarian di bandar itu.











