WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan lebih 500 sekatan baharu ke atas Russia, susulan insiden pencerobohan Moscow terhadap Ukraine yang kini genap dua tahun dan kematian ketua pembangkang, Alexei Navalny.
Sekatan itu termasuk beberapa tindakan terhadap sistem pembayaran kad utama Russia, institusi kewangan dan ketenteraan serta pegawai yang terlibat dalam pemenjaraan Navalny.
Kesatuan Eropah (EU) juga mengumumkan sekatan baharu membabitkan akses kepada teknologi ketenteraan.
Sekatan itu dikenakan kira-kira seminggu selepas Navalny dilaporkan meninggal dunia di penjara Artik.
Lapor BBC, Presiden AS, Joe Biden menegaskan Presiden Russia, Vladimir Putin harus dipersalahkan atas kematian pemimpin pembangkang itu.
Biden dalam satu kenyataan memaklumkan sekatan baharu itu akan `memastikan’ Putin menerima akibatnya untuk tindakan pencerobohannya di luar negara dan penindasan di dalam negeri.
“Dua tahun lalu, pemimpin itu cuba menghapuskan Ukraine dari peta dunia.
“Jika Putin tidak menerima akibat untuk tindakannya dan kemusnahan dicetuskan maka beliau akan tetap meneruskannya,” katanya.
Sekatan baharu itu juga membabitkan hampir 100 firma dan individu yang juga menghadapi sekatan eksport.
Sekatan lain menyasarkan sistem pembayaran utama Russia, Mir selepas Visa dan Mastercard menggantung perkhidmatan mereka di sana.
Syarikat-syarikat terlibat dalam memperkasakan usaha perang Russia, membangunkan pengeluaran tenaga negara pada masa depan dan kerjasamanya dengan Iran berhubung dron juga akan terjejas.
Puluhan entiti di luar Russia termasuk di China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Liechtenstein juga dikenakan sekatan selepas didakwa mempunyai kaitan dengan perniagaan yang menghantar bahan kepada tentera Russia.
Sekatan itu dikatakan tidak mungkin mempunyai kesan ke atas ekonomi Russia.
Russia menjadi negara paling banyak menerima sekatan di dunia berikutan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine sejak Februari 2022.
Bagaimanapun, hanya beberapa entiti atau sektor utama yang belum lagi tertakluk kepada sekatan AS dan Eropah.










