WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa vetonya menolak resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi melaksanakan gencatan senjata segera di Gaza.
Semalam, Washington memveto cadangan pertama dikemuka Algeria yang menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera dan pembebasan tanpa syarat semua tebusan yang diculik dalam serangan 7 Oktober tahun lalu.
Sebanyak 13 negara dalam badan 15 anggota itu menyokong resolusi tersebut, manakala United Kingdom (UK) memilih untuk berkecuali.
Namun Washington mendakwa resolusi yang dicadangkan oleh Algeria itu akan menggugat rundingan untuk menamatkan perang.
Dalam resolusinya sendiri, AS memberi amaran kepada Israel supaya tidak menyerang bandar Rafah.
Duta Washington ke PBB, Linda Thomas-Greenfield mendakwa bukan masa yang sesuai untuk menggesa gencatan senjata segera sementara rundingan antara Hamas dan Israel diteruskan.
Draf resolusi yang dicadangkan oleh AS menggesa gencatan senjata sementara secepat mungkin dengan syarat semua tebusan dibebaskan serta menggesa halangan bantuan yang sampai ke Gaza ditarik balik.
Bagaimanapun, tidak jelas bila UNSC akan mengundi mengenai resolusi yang dicadangkan oleh Washington.
Tindakan veto itu turut mencetuskan kritikan dari banyak negara, termasuk China, Russia, Arab Saudi dan juga sekutu rapat AS, termasuk Perancis serta Slovenia.
Wakil Palestin kepada PBB, Riyad Mansour menyifatkan veto AS adalah sangat melulu dan berbahaya.
Wakil Perancis, Nicolas de Rivière menyatakan kekesalan kerana resolusi itu tidak diterima pakai memandangkan situasi tegang yang semakin memuncak di Gaza.
Hamas berkata, veto oleh AS seumpama memberi lampu hijau kepada pendudukan Israel untuk melakukan lebih banyak pembunuhan beramai-ramai.
Duta Algeria, Amar Bendjama berkata, draf resolusi itu akan menghantar mesej yang kuat kepada rakyat Palestin, namun malangnya UNSC gagal sekali lagi.
“Periksa hati nurani anda, bagaimana sejarah akan menilai anda,” katanya.
Ketika kuasa diplomatik bertelagah, Israel terus membedil Gaza menerusi operasi udara dan darat yang membunuh sejumlah 103 rakyat Palestin dalam tempoh 24 jam lalu.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, serangan Israel berterusan hingga malam Selasa, dengan setiap satunya membunuh sekurang-kurangnya 15 orang di sebuah rumah di tengah Gaza, Deir al-Balah.-AFP










