GAZA: Ambulans berpangkalan di Hospital Nasser di bandar Khan Younis di selatan Gaza kini beroperasi sebagai klinik bergerak selepas kawasan itu bertukar menjadi zon bahaya ekoran pertempuran sengit antara tentera Israel dan Hamas yang berlarutan selama beberapa minggu.
Paramedik, Nassim Hassan yang mengetuai unit kecemasan di Hospital Nasser berkata, kenderaan itu dijadikan sebagai klinik bergerak kerana tiada jalan selamat untuk kembali ke hospital.
“Kami kini berfungsi sebagai klinik bergerak ambulans di pusat bandar Khan Younis.
“Tetapi, tanpa kemasukan segera bantuan, kami bimbang kehabisan bekalan dan peralatan merawat pesakit,” katanya.
Menurut Nassim, mereka terpaksa merawat pesakit dengan cara sendiri termasuk mencari mangsa cedera dan membawa individu itu ke khemah yang lengkap dengan kemudahan perubatan asas.
“Sejak kami meninggalkan hospital itu enam hari lalu, kami tidak henti bekerja.
“Kecederaan berlaku kepada mereka yang dipindahkan yang berada di kawasan perindustrian dan beberapa sekolah.
“Ramai daripada mereka yang cedera dibawa menaiki kereta, tuk-tuk atau berjalan kaki,” katanya.
Sementara itu, paramedik, Ibrahim Abu al-Kass berkata, dia berusaha melakukan yang terbaik untuk merawat pelbagai kecederaan dan penyakit dengan hanya berbekalkan peralatan asas.
KEM UNRWA DISERANG
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) berkata, kemudahannya yang menempatkan keluarga pelarian di seluruh Semenanjung Gaza diserang sekurang-kurangnya 270 kali, mengakibatkan 372 orang terbunuh.
Agensi PBB itu, yang berdepan pemotongan dana di tengah-tengah dakwaan segelintir bekas kakitangannya terbabit dalam serangan 7 Oktober lalu, berkata, keadaan di Gaza sangat terdesak.
“Disebabkan tiada tempat lain untuk pergi, orang ramai terus berlindung di kemudahan PBB yang sama ini, walaupun selepas serangan,” kata UNRWA dalam catatan di media sosial.
Dalam catatan sebelum ini, UNRWA berkata, setiap hari adalah perjuangan untuk terus hidup bagi penduduk Gaza yang kekurangan air bersih dan makanan.
“Tanpa air yang selamat, lebih ramai orang akan mati akibat kekurangan keperluan dan penyakit,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata tiada apa yang boleh menjustifikasi hukuman kolektif terhadap rakyat di Gaza.
Menyenaraikan jenis serangan yang dikaitkan dengan Hamas ketika serbuan 7 Oktober ke atas selatan Israel, ketua PBB itu melalui media sosial, berkata jenayah itu walaupun dahsyat tidak wajar menghukum seluruh penduduk wilayah Palestin.
Guterres dalam catatannya selepas itu, berkata’tiada pihak dalam konflik bersenjata melebihi undang-undang antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) perlu dipatuhi.
“Undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk prinsip perbezaan, perkadaran dan langkah berjaga-jaga dalam serangan perlu sentiasa ditegakkan,” katanya.
ICJ pada bulan lalu mengarahkan Israel mengambil langkah menghentikan tindakan genosid yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza namun jumlah kematian di wilayah itu masih terus meningkat .-REUTERS/AGENSI











