Afrika Selatan kecam keengganan Israel patuh arahan ICJ

Afrika Selatan kecam keengganan Israel patuh arahan ICJ

REMAJA lelaki duduk bersama di tengah-tengah runtuhan bangunan yang musnah di kem pelarian Maghazi di tengah Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAPE TOWN: Menteri Luar Afrika Selatan mendakwa Israel langsung tidak mengendahkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan rejim Zionis melakukan usaha mencegah kematian orang awam di Gaza apabila jumlah yang terbunuh terus meningkat sejak beberapa hari lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, lebih 150 orang terbunuh dan 313 lagi cedera ketika tentera Israel meneruskan pertempuran di bahagian utara wilayah itu.

Serangan darat kembali menggegarkan wilayah utara yang menyaksikan seluruh kawasan kejiranan menjadi ‘rata’. 

Tentera Israel berkata, tenteranya membunuh lebih 15 militan Hamas di utara Gaza dan menyasarkan infrastruktur kumpulan itu di sebuah sekolah.

Bedilan bom berterusan menyebabkan jumlah kematian rakyat Palestin meningkat kepada 26,900 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

ICJ pada 26 Januari memerintahkan Israel untuk mengambil semua langkah dalam kuasanya bagi mencegah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Mahkamah berkata, Israel mesti memastikan tenteranya tidak melakukan genosid dan mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan kemanusiaan di wilayah itu.

Menteri Luar, Naledi Pandor berkata, keputusan ICJ menjelaskan bahawa adalah munasabah genosid sedang berlaku terhadap rakyat Palestin di Gaza. 

“Keputusan ICJ mengenakan kewajipan kepada semua negara untuk menghentikan pembiayaan dan memudahkan tindakan ketenteraan Israel.

“Tetapi saya secara jujurnya percaya keputusan mahkamah itu diabaikan.

“Beratus-ratus lagi orang awam terbunuh sepanjang empat hari yang lalu dan jelas Israel percaya mereka mempunyai lesen untuk melakukan kekejaman ini sesuka hati,” tegasnya.

Pandor memberi amaran tentang bahaya yang menanti jika dunia memilih untuk terus berdiam diri dan tidak bertindak lebih tegas bagi mengekang pembunuhan di Gaza.

Beliau turut membandingkan situasi di Gaza dengan pembunuhan beramai-ramai di Rwanda pada 1994, apabila lebih 800,000 orang terkorban di negara Afrika Timur itu.

Beliau juga membangkitkan persoalan mengapa waran tangkap untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak dikeluarkan dalam kes berasingan Afrika Selatan yang difailkan di ICJ.

“Afrika Selatan akan melihat untuk mencadangkan langkah lain kepada masyarakat global bagi menghalang Israel daripada membunuh lebih ramai orang awam di Semenanjung Gaza,” katanya.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN